KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) kekal universiti teknikal terbaik negara apabila berada di tangga teratas di kedudukan #1 terbaik dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) buat empat tahun berturut-turut.
Pengumuman Times Higher Education (THE) World University Rankings 2026 pada hari ini menyenaraikan UMPSA di tangga 601-800 terbaik di dunia turut menyaksikan universiti itu berada di kedudukan #9 terbaik di Malaysia dalam kalangan institusi awam dan swasta di negara ini.
UMPSA adalah sebuah universiti awam ke-16 yang ditubuhkan kerajaan dalam menawarkan program pendidikan tinggi berteraskan kejuruteraan dan teknologi serta penyedia program TVET termaju (aras tinggi) negara.
Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias berkata, kejayaan ini mengukuhkan lagi kedudukan institusi pengajian tinggi (IPT) itu sebaris dengan universiti bertaraf dunia serta menghasilkan penyelidikan dan inovasi yang berkualiti serta berimpak di peringkat antarabangsa.
“Peningkatan UMPSA dalam indikator pengajaran turut mencerminkan kualiti akademik universiti ini diiktiraf di peringkat antarabangsa. Selain itu, impak penerbitan yang menjadi rujukan dalam kalangan ahli akademik terutamanya dalam bidang sains dan teknologi,” ujarnya.
Ini dibuktikan apabila 25 pensyarah UMPSA tersenarai antara dua peratus saintis terbaik dunia bagi kategori Pencapaian Satu Tahun dan 15 daripadanya tersenarai bagi kategori Pencapaian Sepanjang Kerjaya berdasarkan Elsevier Database, Stanford University baru-baru ini.
Bagi senarai Pencapaian Satu Tahun, UMPSA berada dalam kelompok 10 teratas dalam kalangan IPT di Malaysia apabila seramai 25 pensyarah yang mempunyai dua peratus saintis terbaik dunia paling ramai.
Pencapaian ini menjadikan kebanggaan buat seluruh warga UMPSA yang sentiasa komited terhadap kecemerlangan pengajaran, kerjasama industri dan peningkatan penyelidikan berimpak serta kolaborasi akademik yang telah menyumbang terhadap pencapaiannya.
Yatimah mengucapkan tahniah buat warga UMPSA yang sudah mencapai pelbagai kejayaan bagi meningkatkan citra universiti ke tahap pendidikan tinggi dan global.
Ujar beliau, bertepatan dengan visi universiti ke arah sebuah universiti teknologi terunggul, UMPSA akan terus merealisasikan aspirasi kecemerlangan yang dicapai menerusi pemerkasaan akademik dan hasil penyelidikan berimpak serta menghasilkan graduan cemerlang untuk menjadi modal insan berkualiti dalam memacu pembangunan negara yang cemerlang.
Selain itu, dalam konteks Pelan Strategik UMPSA 2021-2025 dan Kerangka UMPSA30, pelaksanaan projek kerjasama, menaik taraf kebolehan teknikal dan pembangunan produk yang menggunakan kepakaran teknikal UMPSA dan industri akan terus dilaksanakan bagi meningkatkan hubungan baik antara UMPSA dan industri.
UMPSA turut memfokuskan terhadap penyelidikan yang berimpak, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi terkini terutamanya dalam bidang peralihan tenaga, kelestarian, dan digitalisasi.
Selain itu, UMPSA terus mengukuhkan kedudukan universiti ini ke arah hab Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) termaju di rantau ASEAN berteraskan kecemerlangan akademik, jaringan global dan keupayaan penghasilan graduan yang berkualiti tinggi.
Times Higher Education (THE) World University Rankings adalah sistem penarafan peringkat global yang menilai prestasi Universiti di seluruh dunia merangkumi pengajaran (29.5 peratus), persekitaran penyelidikan, (29 peratus), kualiti penyelidikan (30 peratus), perspektif antarabangsa (7.5 peratus) dan hubungan dengan industri (empat peratus). – UTUSAN