TVET Tahfiz julang kualiti pendidikan rakyat-Ahmad Zahid - Utusan Malaysia

TVET Tahfiz julang kualiti pendidikan rakyat-Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi (dua kanan) menerima cenderamata  daripada Cik Wan Hilmy Wan Mohamed Rehlah Perdana Madani di Madrasah An Nabawiyyah, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang hari ini-UTUSAN/ SALEHUDIN MAT RASAD.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Dasar Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2030 akan diperluas ke institusi pondok dan maahad tahfiz seluruh negara bagi memperkasa pendidikan Islam melalui laluan kemahiran teknikal yang diiktiraf.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelaksanaan itu tidak akan menjejaskan sistem pengajian tahfiz sedia ada.

Menurutnya, subjek TVET hanya diperkenal di luar waktu pembelajaran utama bagi memastikan keseimbangan antara pendidikan agama dan kemahiran duniawi.

“Kita tidak ganggu sistem tahfiz atau sistem pondok sekarang. Kita hanya masukkan subjek TVET di luar waktu pembelajaran. Ertinya kita kombinasikan ukhrawi dan duniawi supaya kita beri yang terbaik, insya-Allah,” katanya kepada pemberita selepas program Rehlah Perdana Madani di Madrasah An Nabawiyyah, Pulau Tawar, di sini hari ini yang turut dihadiri pengetuanya Datuk Cik Wan Hilmy Wan Mohamed.

Ahmad Zahid memberitahu, melalui dasar tersebut, pelajar tahfiz diberi akses untuk mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap tiga.

Katanya, usaha itu bertujuan menyemarakkan institusi pondok dan tahfiz selain membuka laluan kerjaya lebih luas kepada para pelajarnya.

“Bagi mereka yang telah menamatkan hafazan melalui kaedah tasmik, tashih dan syahadah, kerajaan menyediakan ruang yang lebih tinggi.

“Mereka yang bergelar huffaz layak memperoleh SKM tahap lima yang setaraf diploma,” jelasnya.

Beliau menambah, sijil itu membolehkan mereka menyambung pengajian ke universiti teknikal di bawah rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

Menurut Ahmad Zahid, dasar tersebut sejajar usaha kerajaan mengangkat martabat pendidikan al-Quran agar setara dengan bidang profesional lain.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN