SHAH ALAM: Dalam usaha memodenkan industri kewangan automotif di Malaysia, Tras tampil sebagai platform perkhidmatan kewangan serba lengkap yang pertama di negara ini, direka khas untuk menjadikan proses pemilikan kereta lebih mudah, telus dan mesra pelanggan.
Melalui kerjasama strategik dengan pelbagai institusi kewangan, Tras menawarkan kadar faedah yang kompetitif, platform mudah guna serta pelbagai ciri inovatif yang memenuhi keperluan pengguna masa kini.
Ketua Pegawai Eksekutif EON Capital Sdn. Bhd., Kazrin Khairul Anuar berkata, sistem pembiayaan kereta sedia ada masih bergantung kepada proses manual seperti penghantaran dokumen melalui aplikasi WhatsApp atau emel, yang bukan sahaja tidak efisien malah berisiko tinggi terhadap keselamatan data peribadi.
“Kebanyakan pembiayaan kenderaan sekarang membuatkan pelanggan tiada kawalan terhadap dokumen sensitif mereka, manakala ejen jualan pula tiada sistem untuk menjejaki status permohonan.
“Di sinilah Tras tampil menyelesaikan masalah tersebut. Tras adalah satu platform tunggal yang menyatukan semua pihak berkepentingan dalam proses pembelian kenderaan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Menurut Kazrin, dengan peningkatan kos sara hidup dan kesukaran mendapatkan pinjaman automotif yang sesuai, platform seperti Tras dilihat sebagai penyelesaian moden untuk rakyat Malaysia yang ingin memiliki kereta tanpa berdepan proses yang rumit.
Katanya, Tras memberikan akses segera kepada para pelanggan melalui pelbagai pilihan pembiayaan dari institusi kewangan terkemuka, semuanya dalam satu platform digital yang mesra pengguna.
“Tras diwujudkan bagi memudahkan proses permohonan pembiayaan kenderaan antara pelanggan, pengedar kereta dan institusi kewangan, dan ini disokong oleh pengalaman digital yang lebih pantas, selamat serta fleksibel.
Menurut Kazrin, salah satu ciri utama Tras ialah kebolehannya untuk membolehkan pengguna membuat permohonan pembiayaan kereta secara dalam talian, tanpa perlu hadir ke bank atau bilik pameran.
“Buat masa ini, Tras bekerjasama dengan tiga bank berlesen tempatan iaitu Bank Muamalat, AmBank dan Maybank yang membolehkan pelanggan menghantar permohonan serentak, dengan tawaran kadar kompetitif, serta kelulusan boleh diperoleh seawal 30 minit bergantung pada dokumen,” katanya.
Katanya, ini bukan sahaja menjimatkan masa, malah memberi pengguna lebih kawalan terhadap proses permohonan mereka. Langkah mudah ini turut disokong oleh sistem digital Tras yang pantas dan fleksibel.
“Segala maklumat, termasuk kadar faedah, ansuran bulanan dan kelayakan, boleh diakses serta-merta melalui platform ini.
“Pengguna boleh membandingkan pelbagai tawaran daripada bank yang berbeza, memilih kadar yang paling sesuai dengan bajet mereka dan melengkapkan proses permohonan secara digital dari permohonan awal hingga kelulusan,” katanya.
‘CarCulator’ alat pintar kira jumlah bulanan kemampuan pembeli
Menurut Kazrin, Tras turut memperkenalkan alat pintar dinamakan ‘CarCulator’ membolehkan pengguna mengenalpasti kereta yang sesuai berdasarkan profil kewangan mereka.
Katanya, melalui analisis data seperti pendapatan bulanan, komitmen sedia ada dan skor kredit, CarCulator mencadangkan model kereta yang bersesuaian dengan kemampuan kewangan pengguna.
“Ini secara tidak langsung membantu pengguna mengelakkan beban kewangan di masa hadapan.
“CarCulator bukan sahaja mengira jumlah bayaran bulanan, malah mencadangkan model kenderaan yang sesuai dengan kemampuan kewangan pelanggan,” katanya.
Selain pembiayaan, Tras juga menawarkan Program Waranti Lanjutan (Extended Warranty Program, EWP), satu kemudahan tambahan yang memberikan ketenangan fikiran kepada pemilik kereta.
Program ini meliputi pembaikan dan servis selepas tempoh waranti asal tamat, sekali gus membantu pengguna mengurangkan kos penyelenggaraan jangka panjang. Malah, Program Waranti Lanjutan ini juga dapat meningkatkan nilai jualan semula kereta kerana program tersebut dikaitkan dengan kereta yang dibeli, bukan kepada pemilik individu.
Tambah Kazrin, pada bulan November ini, Tras akan memperkenalkan kempen “Surprise Value Giveaway” yang berlangsung dari 11 hingga 30 November 2025. Sepanjang tempoh ini, pelanggan yang membuat permohonan pembiayaan melalui platform Tras dan berpeluang menikmati kadar faedah istimewa daripada bank yang mengambil bahagian, iaitu 1.66% bagi kenderaan elektrik (EV), 2.19% bagi kenderaan bukan nasional, dan 2.71% bagi kenderaan nasional.
Ini membuktikan kemunculan Tras bukan sahaja menguntungkan pengguna, malah memberi impak positif terhadap industri automotif dan perbankan.
Dengan digitalisasi proses pembiayaan, bank-bank rakan kongsi kini dapat memperluaskan rangkaian mereka kepada lebih ramai pelanggan, manakala peniaga kereta boleh menumpukan perhatian kepada jualan, tanpa terbeban dengan proses permohonan pinjaman yang memakan masa.
Platform seperti Tras juga seiring dengan agenda kerajaan untuk mempercepatkan transformasi digital dalam sektor perkhidmatan kewangan, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi digital negara. – UTUSAN










