Tiga negeri utara dilanda banjir

Tiga negeri utara dilanda banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Tiga buah negeri di utara tanah air dilanda banjir dengan Perak mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu seramai 2,633 orang daripada 899 keluarga yang telah dipindahkan ke 24 buah pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat pukul 5 petang semalam, empat buah daerah terjejas iaitu Larut, Matang dan Selama (LMS), Manjung, Perak Tengah dan Kerian.
Daerah LMS mencatatkan jumlah tertinggi dengan 1,906 mangsa daripada 676 keluarga yang kini berlindung di 19 PPS.

Ia termasuk di Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang, Masjid Alwusta Batu 8, Dewan Perdana Trong dan Masjid Changkat Jering.

Antara kawasan yang terjejas di LMS termasuk Kampung Ulu Sepetang, Kampung Batu 8, Kampung Jelapang Jaya, Kampung Matang Gelugor, Taman Simpang Makmur serta beberapa taman perumahan di sekitar Trong dan Taiping.

Sementara itu di Manjung, seramai 524 mangsa daripada 170 buah keluarga ditempatkan di tiga PPS iaitu SK Sungai Batu di Pantai Remis, SAR Padang Serai di Pengkalan Baru dan SK Beruas.

Menurut laporan Laman Web Rasmi Public Infobanjir, setakat pukul 5.30 petang semalam, aras air di Kolam Air Bukit Merah di Kerian berada pada tahap bahaya manakala aras air di Sungai Kerian di Selama, Empangan Ulu Kinta di Kinta dan Sungai Kampar di Kampung Baru Kuala Dipang, Kampar berada di tahap amaran.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan berterusan di beberapa kawasan termasuk Kerian, LMS dan Manjung, dengan keadaan cuaca kekal tidak menentu sepanjang hari.

DI PULAU PINANG: sebanyak enam buah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di tiga daerah.

Setakat pukul 5.30 petang semalam, seramai 781 mangsa banjir daripada 216 buah keluarga berlindung di PPS yang diaktifkan.

Bagi daerah Seberang Perai Utara (SPU), tiga buah PPS telah dibuka untuk menempatkan seramai 638 mangsa dari 179 keluarga.

Di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) pula, dua PPS dibuka untuk menempatkan seramai 170 mangsa dari 42 keluarga.

Selain itu, satu PPS turut dibuka di daerah Barat Daya untuk menempatkan seramai 22 mangsa dari lapan keluarga.

DI KEDAH, setakat waktu yang sama semalam, seramai 1,079 mangsa daripada 344 keluarga ditempatkan di lapan PPS yang diaktifkan di Kulim dan Kuala Muda termasuk di SJKC Choong Cheng dan Surau Taman Sang Kancil, Lunas.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×