Tidak wajar kenakan cukai baharu jika ketirisan berleluasa

Tidak wajar kenakan cukai baharu jika ketirisan berleluasa

ANWAR Ibrahim ketika berucap Forum Ilmu PNB 2025 di Kuala Lumpur hari ini.-UTUSAN/ ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan mahu memastikan sistem tadbir urus negara benar-benar bersih daripada sebarang penyelewengan dan ketirisan sebelum mengenakan sebarang bentuk cukai baharu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, adalah tidak wajar sekiranya kerajaan mengenakan cukai tambahan kepada rakyat sekiranya hasil kutipan sedia ada masih tidak diuruskan dengan baik dan berhemah serta berterusan mengalami ketirisan besar.

“Mengapa kita perlu mengenakan cukai sedangkan hasil yang dikutip selama ini belum dibelanjakan dengan baik? 

“Mengapa perlu kita beranggapan bahawa hasil yang telah dikutip itu dibelanjakan dengan sempurna dan tiada kebocoran?,” katanya ketika berucap pada Forum Ilmu Permodalan Nasional Berhad (PNB), di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, soal moral dan integriti mesti menjadi asas kepada sebarang dasar ekonomi termasuk percukaian kerana kerajaan tidak boleh mengharapkan rakyat terus menanggung beban tanpa jaminan ketelusan dalam pengurusan kewangan negara.

Ujarnya, tadbir urus berintegriti dan keberanian politik merupakan asas utama kerajaan dalam mendepani cabaran dunia yang kini memasuki era pasca normal.

Katanya lagi, kerajaan perlu berani melaksanakan dasar baharu yang berpaksikan keadilan, kemanusiaan dan ketelusan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dapat dirasai secara menyeluruh oleh semua lapisan masyarakat.

“Tadbir urus menjadi tugas saya bagaimana untuk ubah, mencabar politik dan perniagaan yang dahulunya membazir tanpa dikenakan sebarang hukuman, berurusan dengan orang yang mempunyai pengaruh dengan rangkaian antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, hasil daripada langkah memperkukuh institusi penguatkuasaan, kerajaan berjaya mengembalikan RM15.5 bilion dana awam dalam tempoh dua tahun.

Jelasnya, jumlah itu terdiri daripada aktiviti penyelewengan termasuk penyeludupan, kegiatan sindiket dan kebocoran hasil kerajaan, sekali gus membuktikan bahawa ketirisan berlaku secara meluas sebelum ini.

Beliau turut menjelaskan keputusan kerajaan menghentikan subsidi ayam bernilai RM1.1 bilion setahun bertujuan menamatkan kebergantungan kartel terhadap dana awam dan memastikan bantuan hanya disalurkan kepada golongan benar-benar memerlukan.

“Bermula dengan tadbir urus… dasar ini boleh diserap dan dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, beliau terkejut kerana masih ada wujud pihak yang memperlekehkan usaha kerajaan mengekang rasuah dan penyelewengan itu termasuk daripada blok pembangkang.

“Kalau kita ikuti perbahasan di Parlimen, hampir tiada sokongan kecuali daripada penyokong kerajaan manakala pembangkang pula memperlekehkan usaha ini,” katanya.

Beliau menegaskan, sikap membisu dan kompromi terhadap amalan lama itu menyebabkan negara menanggung beban hutang besar serta kerosakan sistemik dalam pengurusan fiskal.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN