KUALA LUMPUR: Tahun Kemahiran ASEAN 2025 memberi fokus kepada pembangunan kemahiran dan pelaburan bersama dalam modal insan sebagai teras kepada pertumbuhan serantau.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemahiran melangkaui sempadan dan masa depan ASEAN terletak pada keupayaan negara-negara anggota untuk melabur kepada rakyat.
Beliau berkata, ia terutamanya melibatkan golongan belia yang merupakan majoriti daripada hampir 700 juta penduduk rantau ASEAN.
“Masa depan ASEAN terletak pada kekuatan rakyatnya. Kita tidak mampu membentuk masa depan secara bersendirian.
“Ilmu tiada sempadan dan bakat apabila dibangunkan secara bersama mampu mengangkat seluruh rantau ini,” katanya di Forum Kemahiran Global (GSF) 2025, di sini semalam.
Ahmad Zahid berkata, antara agenda Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 yang sedang digerakkan untuk mengubah ‘dividen belia’ ASEAN menjadi pemacu inovasi dan kemakmuran jangka panjang.
“Fokus utama adalah pembangunan kerangka pengiktirafan kemahiran rentas sempadan, melalui kerjasama erat antara Sekretariat ASEAN, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Pertubuhan Majikan Antarabangsa (IOE).
“Justeru, tiga komponen utama diberi tumpuan iaitu memperkukuh sistem kemahiran nasional dengan penyelarasan antara pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Revolusi Industri 4.0 dan ekonomi hijau,” katanya.
‘Dividen belia’ merujuk manfaat ekonomi dan sosial yang boleh diperoleh oleh sesebuah negara apabila mempunyai jumlah penduduk muda yang besar, terutamanya jika golongan belia sihat, berpendidikan, mempunyai kemahiran yang relevan serta berpeluang untuk bekerja dan menyumbang kepada ekonomi.
Beliau berhasrat mahu memperluas peluang latihan semula dan peningkatan kemahiran, khususnya untuk wanita, belia, orang kurang upaya (OKU) serta pekerja dalam sektor tidak formal.
“Kita boleh mempromosikan pengiktirafan kemahiran secara serantau, bagi membolehkan ASEAN bergerak sebagai satu pasukan dengan tenaga kerja yang bergerak bebas, berdaya saing dan bersedia untuk masa depan,” katanya. – UTUSAN










