Suspek rompak kedai emas di Sungai Golok mungkin sudah lolos ke Malaysia

Suspek rompak kedai emas di Sungai Golok mungkin sudah lolos ke Malaysia

TRAK pikap yang disyaki digunakan dalam rompakan kedai emas di Sungai Golok ditemukan di kebun sawit di Mukim Kayukhla, Daerah Waeng, Narathiwat, Thailand, Kelmarin-IHSAN POLIS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT (THAILAND): Pihak berkuasa Thailand tidak menolak kemungkinan ada dalam kalangan ahli kumpulan yang merompak kedai emas di Pasar Raya Big-C Sungai Golok di sini sudah lolos ke Malaysia.

Jurucakap Polis Wilayah 9 berkata, andainya itu berpandukan kepada penemuan dua buah pikap yang disyaki digunakan kumpulan terbabit di kebun sawit di Mukim Kayukhla, Daerah Waeng, di sini, kelmarin.

“Mukim Kayukhla bersempadan dengan Kelantan. Jadi pihak keselamatan kini sedang menyaring rakaman kamera televisyen tertutup (CCTV) untuk mengesan pelaku. Kami mengesyaki mereka meninggalkan kenderaan itu di kebuh sawit berkenaan dan melarikan diri ke Malaysia melalui laluan kawasan hutan.

“Berdasarkan maklumat yang kami terima, pelaku adalah anggota kumpulan pejuang yang diketepikan pemimpin mereka, selain bantuan kewangan juga tidak lagi disalurkan kepada mereka. Tambahan pula, operasi domestik mereka berada di bawah pengawasan ketat pihak berkuasa, menyebabkan kumpulan itu kekurangan dana,” katanya.

Jurucakap memberitahu, pasukan keselamatan negara ini tetap memperhebatkan gerakan menjejak kumpulan berkenaan terutama di wilayah Yala, Pattani dan Narathiwat.

Katanya, Komander Polis Wilayah 9, Leftenan Jeneral Piyawat Chalermsri sudah mengarahkan pemeriksaan keluar masuk di Wilayah Narathiwat, Yala dan Pattani diperketatkan.

“Pemeriksaan ketat juga dilakukan disemua pintu sempadan Thailand-Malaysia bagi mengelak kumpulan penjenayah terbabit lolos ke negara jiran.

“Semua pusat pemeriksaan, sama ada di bawah kawalan polis atau agensi lain, diarah melakukan pemeriksaan rapi, khususnya yang memasuki bandar Yala,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seramai 10 lelaki menggunakan senjata perang jenis M16 dan AK104 serta pistol melarikan barang kemas bernilai hampir RM3.11 juta selepas merompak sebuah kedai emas di Pasar Raya Big-C, dekat sini semalam.

Kejadian pukul 6.30 petang itu berlaku ketika orang ramai sedang membeli-belah di pasar raya berkenaan.

Menurut jurucakap polis, semasa kejadian, kumpulan perompak itu masuk ke kawasan parkir kawasan pasar raya tersebut menggunakan trak pikap.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN