Sumud Flotilla diancam Israel

Sumud Flotilla diancam Israel

KONVOI Global Sumud Flotilla dalam misi menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza, Palestin, berdepan risiko tindakan agresif tentera Israel. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) mula berdepan ancaman lebih agresif daripada tentera Israel selepas memasuki zon merah iaitu pada kedudukan 100 batu nautika dari pesisir pantai Gaza.

Sekitar pukul 8 pagi (waktu Malaysia) semalam, dua kapal utama GSF iaitu Alma dan Sirius telah menerima provokasi daripada Israel apabila sebuah kapal perang tentera laut milik rejim Zio­nis itu menghampiri kedua-dua kapal ber­kenaan.

Ahli Jawatankuasa GSF, Thiago Avila yang berada di atas kapal Alma berkata, kapal perang Israel yang menghampiri mereka melakukan intimidasi agresif dengan mengelilingi bot dinaikinya selama lebih enam minit.

Katanya, kapal perang itu turut cuba merempuh bot dinaikinya namun berjaya dielakkan supaya tidak berlaku sebarang pertembungan fizikal. Namun provokasi tersebut mengakibat internet, kamera litar tertutup (CCTV), alat navigator dan rangkaian komunikasi bot tersebut mengalami kerosakan.

“Walaupun berlaku kerosakan pada peralatan elektronik, tiada sesiapa yang tercedera dan kami akan terus berlayar ke Gaza untuk memecahkan kepungan dan membuka laluan kemanusiaan,” katanya dalam sidang akhbar tergempar pada kedudukan 120 batu nautika dari pantai Gaza, semalam.

Seorang lagi peserta GSF yang menaiki kapal Sirius, Lisi Proenca memberitahu, kapal perang Israel tersebut kemudiannya meluru ke arah bot dinaikinya yang ketika itu berada berhampiran Alma.

Katanya, keadaan itu mengakibatkan semua peserta di atas kapal Sirius ketakutan ke­rana pertama kali mengalami intimidasi secara agresif tersebut.

“Mereka mengelilingi kami selama lebih 15 minit mengakibatkan ketakutan dan tekanan kepada semua peserta, namun dalam keadaan berbahaya itu kami semua aktifkan protokol keselamatan dan terus berjaga-jaga.

“Selepas 15 minit melakukan provokasi, kapal itu kemudiannya meninggalkan kami. Semua peserta berasa amat lega kerana tiada insiden tidak diingini berlaku dan kami terus melaungkan ‘Free, Free Palestine’,” katanya.

Selain provokasi itu, GSF turut mengesan pergerakan lebih 10 dron yang memerhatikan pelayaran mereka sejak kelmarin sebelum didekati dua bot tidak dikenali yang ‘meninjau’ keadaan kapal-kapal konvoi dalam keadaan mencurigakan.

Keselamatan semua 44 konvoi GSF yang membawa lebih 400 peserta termasuk 23 rakyat Malaysia kini amat membimbangkan susulan perkembangan terbaharu di Israel yang dilaporkan dijangka menggerakkan 500 anggota polis ke Pelabuhan Ashdod untuk menahan semua peserta flotilla.

Laporan media tempatan Israel juga melaporkan bahawa pasukan elit tentera lautnya iaitu Shayetet 13 akan mengambil alih kawalan kapal-kapal flotilla bersama armada laut lain.

Lebih membimbangkan, la­poran sama turut memaklumkan rancangan Israel untuk menahan peserta flotilla dan menghantar mereka ke Penjara Ketziot manakala peserta konvoi yang memberikan kerjasama dihantar pulang ke negara asal masing-masing.

Israel juga merancang untuk menenggelamkan sebahagian kapal konvoi flotilla manakala selebihnya akan ditunda ke pelabuhan berhampiran.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr. Sani Araby Abdul Alim Araby memaklumkan delegasi Malaysia ke Gaza kini hanya berbaki seramai 23 orang selepas enam sukarelawan akan diterbangkan pulang ke tanah air dari Greece.

Katanya, jumlah itu membabitkan lima warga tempatan serta seorang warga Brunei yang dijangka tiba di tanah air pada malam ini.

“Mereka yang diterbangkan pulang ialah Abdul Rahim Azhari; Muhammad Khairin Afiq Mohd. Subkhi; Ahmad Safuan Ujar; Tuan Mohd. Asri Tuan Hussein; Nur Ilham Fansuri Zainal Rashid dan warga Brunei, Rezahmaisalamah Md. Yusof,” katanya.

Sani Araby berkata, terdapat dua lagi sukarelawan Malaysia akan dihantar ke Amman, Jordan untuk membantu kumpulan perundangan sekretariat membuat persediaan iaitu Hidayat Abdullah dan Nik Aziz Nik Mohammad.

“Ini adalah sebahagian pro­ses penstrukturan peranan pada 28 September lalu, susulan empat kapal flotila yang mengalami kerosakan teruk dan tidak berupaya meneruskan pelayaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×