Suami isteri maut, empat cedera Toyota Hilux terbabas di Lebuh Raya Pantai Timur - Utusan Malaysia

Suami isteri maut, empat cedera Toyota Hilux terbabas di Lebuh Raya Pantai Timur

KEADAAN Toyota Hilux yang terlibat kemalangan di kilometer 162.9 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah timur di Maran, Pahang. - IHSAN IPD MARAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Dua maut manakala empat cedera apabila kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dinaiki enam sekeluarga terbabas ke dalam longkang di kilometer 162.9 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah timur di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, kenderaan berkenaan dalam perjalanan pulang dari Cameron Highlands menuju ke Kemaman sebelum hilang kawalan ketika hujan lebat dan terbalik.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, mangsa yang maut di lokasi kejadian ialah pemandu, Aziz  Awang, 68, dan isterinya, Hasnah  Mat Nong, 64, kedua-duanya pengusaha kedai makan Warung Aziz Satar di Kampung Geliga, Kemaman.

“Empat penumpang lain yang cedera dan kini dirawat di Hospital Temerloh ialah pekerja warung, Che Siti Suhaida Che Amat, 27; Rohani Chik, 65; Noraini Mamat, 45. serta seorang kanak-kanak, Nor Ayra Qaisara Ahmad Iduwan, 8, iaitu anak Noraini” katanya ketika dihubungi di sini.

Menurut Kim Wai, siasatan awal mendapati kenderaan itu sedang bergerak di lorong kiri ketika tiba-tiba terbabas ke kiri jalan lalu terjunam ke dalam longkang selepas dipercayai hilang kawalan akibat permukaan jalan licin.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN