TOKYO: Jepun hari ini melakar sejarah baharu apabila Sanae Takaichi dipilih sebagai perdana menteri wanita pertama negara itu selepas memenangi undian Parlimen.
Takaichi, 64, meraih majoriti mudah 237 undi daripada 456 kerusi di Dewan Rendah, menewaskan beberapa calon lain termasuk pemimpin pembangkang utama Parti Demokratik Perlembagaan (CDP), Yoshihiko Noda, yang berada di tempat kedua dengan 149 undi.
Dikenali sebagai tokoh konservatif tegas dan dianggap pelindung ideologi mendiang bekas perdana menteri Shinzo Abe, Takaichi dipilih mengetuai Parti Liberal Demokratik (LDP) pada 4 Oktober, sekaligus membuka laluan ke jawatan tertinggi dalam pentadbiran Jepun.
Namun, pelantikan Takaichi ke jawatan tertinggi itu hampir tergugat selepas perikatan 26 tahun antara LDP dan Komeito dibubarkan secara mengejut pada 10 Oktober lalu.
Hanya 10 hari kemudian, LDP membentuk pakatan baharu bersama Parti Inovasi Jepun (JIP) berhaluan tengah-kanan yang berpangkalan di Osaka, juga dikenali sebagai Nippon Ishin no Kai.
Walaupun berjaya memperoleh majoriti undi bagi jawatan perdana menteri, Takaichi kini mengetuai kerajaan minoriti, kerana gabungan LDP-JIP masih belum mencapai majoriti penuh dalam kedua-dua dewan Parlimen.
“Sebagai parti yang berkongsi visi nasional sama, saya amat menantikan kerjasama ini untuk memperkukuh ekonomi Jepun dan membentuk negara yang boleh kita wariskan dengan penuh tanggungjawab kepada generasi akan datang,” kata Takaichi selepas menandatangani perjanjian gabungan dengan JIP, semalam.
Kabinet pimpinan Takaichi dijangka mengangkat sumpah hari ini, dan beliau dilaporkan berhasrat melantik pesaingnya dalam perebutan jawatan ketua LDP ke posisi penting sebagai usaha memperkukuh perpaduan parti.- AGENSI