Russia ‘intai’ peluang eksport halal di Asia Tenggara

Russia ‘intai’ peluang eksport halal di Asia Tenggara

ALEXEY OVERCHUK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Russia melihat potensi eksport produk makanan halalnya ke pasaran Asia Tenggara, termasuk produk berasaskan daging dan tenusu.

Timbalan Perdana Menteri Russia, Alexey Overchuk berkata, langkah itu selaras dengan perkembangan positif sektor pertanian negaranya yang kini mencatat hasil tuaian bijirin memberangsangkan, sekali gus berminat memperluaskan eksport dengan mengambil kira keperluan di Asia Tenggara.

“Kami mempunyai agenda yang panjang. Kami berbincang mengenai usaha memperkukuh hubungan antara Asia Utara, Asia Tenggara dan Eurasia Tenggara.

“Dalam menghadapi cabaran serta perubahan global hari ini, penting untuk mewujudkan keseimbangan hubungan ekonomi antara pelbagai rantau dunia,” katanya dalam sidang akhbar sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.

Beliau berkata, perbinca­ngan dengan rakan ASEAN turut menumpukan kerjasama dalam bidang tenaga, termasuk pembangunan tenaga nuklear dan teknologi penjanaan tenaga solar.

“Rantaian bekalan baharu perlu dibina dan persaingan lebih baik mesti diwujudkan bagi pembangunan ekonomi kita.

“Russia, Kesatuan Ekonomi Eurasia (EaEU) dan negara-negara di rantau Eurasia Utara tentunya mahu bekerjasama lebih erat dengan negara-negara Asia Tenggara,” katanya.

Menurut Overchuk, perdagangan antara Russia dan negara ASEAN kini mencecah AS$23 bilion (RM96.8 bilion), meningkat 16 peratus berbanding tahun 2023.

Katanya, ekonomi Russia menunjukkan ketahanan luar biasa biarpun berdepan tekanan geopolitik global, apabila perdagangan negara itu dengan Malaysia mencatat peningkatan memberangsangkan sepanjang 2025.

Beliau berkata, perkemba­ngan positif itu menjadi bukti kekuatan ekonomi Russia tidak bergantung kepada keadaan politik semasa, sebaliknya dipacu oleh asas ekonomi yang kukuh serta kerjasama strategik dengan rakan dagang utama di rantau Asia.

“Perdagangan dua hala antara Russia dan Malaysia berkembang dengan baik tahun ini selepas sedikit penurunan tahun lalu. Ini menjadi asas kepada perbincangan saya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,

“Malaysia dan negara-negara ASEAN kekal sebagai rakan ekonomi penting bagi Russia. Rantau ini semakin muncul sebagai pusat pertumbuhan glo­bal, dan kami yakin hubu­ngan perdagangan dan pelaburan yang erat mampu membawa manfaat besar kepada semua pihak,” katanya.

Beliau turut memaklumkan Asia Tenggara berminat terhadap Laluan Laut Utara yang dianggap sebagai strategik untuk mengeksport produk dari negara-negara ASEAN ke Barat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN