Rundingan tarif Malaysia-AS kurangkan ketidaktentuan perniagaan

Rundingan tarif Malaysia-AS dijangka kurangkan ketidaktentuan perniagaan

RAZALI MOHD. SHAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rundingan tarif perdagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang dijangka dimuktamadkan hari ini dijangka dapat mengurangkan ketidaktentuan perniagaan seperti berlaku ketika ini.

Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Idham Razak, berkata, jika rundingan itu mencapai keputusan positif, ia akan memberi kesan ketara terhadap ekonomi negara.

“Dalam tempoh terdekat, kestabilan akses pasaran ke Amerika Syarikat iaitu pasaran eksport ketiga terbesar Malaysia akan mengurangkan ketidaktentuan perniagaan, meningkatkan keyakinan pelabur, serta mempercepat pelaburan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor,” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.

Tambahnya, dalam jangka panjang, perjanjian itu berpotensi menjadi batu loncatan bagi Malaysia menyertai inisiatif perdagangan digital dan hijau yang diterajui AS seperti Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF).

“Langkah ini akan memacu transformasi ke arah ekonomi bernilai tinggi, menjana pekerjaan berkemahiran tinggi dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab rantaian bekalan strategik di Asia Tenggara,” ujarnya.

Idham turut menjelaskan, keputusan rundingan ini juga berpotensi mempengaruhi corak hubungan perdagangan AS dengan negara-negara ASEAN lain.

“Jika Malaysia mencapai persetujuan yang seimbang, ia boleh menjadi model rujukan bagi negara ASEAN lain dalam rundingan serupa.

“Namun, jika Malaysia memperoleh kelebihan kompetitif ketara seperti pengecualian tarif atau kuota eksport khas, ia mungkin mencetuskan tekanan kepada negara jiran untuk menuntut syarat serupa,” katanya

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM, Amer Fawwaz Mohamad Yasid berkata, Trump berkemungkinan mengekalkan kadar tarif eksport Malaysia ke AS pada paras 19 peratus, selepas menurunkannya daripada 25 peratus pada Ogos lalu.

“Saya tidak rasa Presiden AS akan menurunkan lagi kadar tarif tersebut kerana jika ia diturunkan di bawah 19 peratus, negara-negara ASEAN lain seperti Myanmar yang kini dikenakan kadar 40 peratus mungkin akan menekan untuk mendapat layanan sama,” katanya.

Dia berkata, kadar tarif 19 peratus terhadap barangan eksport Malaysia seperti produk elektronik, semikonduktor, petroleum dan makanan memberi kesan langsung kepada kos pengeluaran tempatan.

“Kenaikan kadar tarif menyebabkan pengeluar perlu menyerap kos tambahan, yang akhirnya meningkatkan kos keseluruhan pengeluaran barangan dieksport ke AS,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN