BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul menangguhkan kehadirannya ke Sidang Kemuncak ASEAN di Malaysia hari ini susulan kemangkatan bekas Ratu Thailand, namun tetap mahu meneruskan rundingan damai dengan Kemboja yang bakal disaksikan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Anutin berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Permaisuri Sirikit, ibu kepada Raja Vajiralongkorn dan isteri kepada raja paling lama memerintah dalam sejarah negara tersebut yang mangkat lewat malam tadi pada usia 93 tahun.
“Saya membatalkan perjalanan ke Malaysia hari ini dan rundingan damai antara Kemboja dengan Thailand bersama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Trump dijadualkan esok,” katanya.
Anutin berkata, pemergian Permaisuri Sirikit merupakan kehilangan besar kepada seluruh rakyat Thailand.
Minggu lalu, Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Trump akan menghadiri majlis menandatangani perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja sempena sidang kemuncak negara-negara Asia Tenggara di Malaysia.
Hubungan kedua-dua negara berjiran itu kembali tegang Julai lalu apabila tercetus pertempuran paling sengit dalam tempoh beberapa dekad yang mengorbankan lebih 40 nyawa dan memaksa kira-kira 300,000 penduduk melarikan diri.
Kedua-dua pihak bersetuju melaksanakan gencatan senjata yang turut diusahakan Trump selepas lima hari pertempuran, namun sejak itu saling menuduh melanggar perjanjian berkenaan.










