BERA: Ribuan ikan pelbagai spesies ditemukan mati dan terapung di Sungai Bera sejak Jumaat lalu dipercayai berpunca akibat pencemaran air, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.
Seorang penduduk, Mat Jidi Yaakob yang juga Pengerusi Persatuan Kebajikan Pekida Daerah Bera berkata, insiden itu mula disedari selepas bangkai ikan timbul di beberapa lokasi sepanjang sungai termasuk berhampiran kawasan tadahan dan laluan nelayan darat.
“Pihak berkuasa perlu bertindak tegas terhadap yang bertanggungjawab demi menjaga kelestarian sungai dan khazanah kehidupan kembali asal,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Menurut Mat Jidi, bau bahan asing pada permukaan air turut menimbulkan syak bahawa pencemaran mungkin datang daripada sisa kilang atau penggunaan racun perosak yang dibuang ke dalam aliran sungai.
Seorang penduduk dari Bandar Bera, Rosli Abd. Rahman berkata, dia terkejut melihat keadaan itu ketika melalui lokasi memancing kegemarannya pada pagi Sabtu lalu.
“Saya nasihatkan orang ramai berhati-hati dan jangan beli ikan sungai yang dijual murah secara tiba-tiba, bimbang itu ikan dari Sungai Bera yang mati akibat pencemaran,” katanya.
Dia yang juga seorang usahawan menambah, kematian ikan asli Sungai Bera seperti baung begitu dikesali kerana spesies itu semakin sukar diperoleh sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Susulan laporan penduduk, pihak Jabatan Tanah dan Daerah Bera, Jabatan Perikanan, Jabatan Alam Sekitar serta polis turun ke lokasi melakukan siasatan dan mengambil sampel air.
Beberapa pegawai yang terlibat dalam pemuliharaan ekosistem sungai serta kelestarian ikan asli Sungai Bera turut hadir untuk menilai tahap kerosakan habitat.
Pihak berkuasa sudah mengambil sampel air dan sedimen turut diambil di beberapa anak sungai berhampiran kawasan perindustrian kecil bagi mengesan kemungkinan pelepasan bahan kimia secara tidak terkawal.
Difahamkan, nelayan darat dan penduduk kampung di sepanjang Sungai Bera juga diminta menghentikan aktiviti menjaring ikan buat sementara waktu sehingga keputusan ujian makmal diperoleh. – UTUSAN