GAZA: Selepas perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas berkuat kuasa, ribuan rakyat Palestin tetap memilih untuk pulang ke rumah mereka walaupun hanya tinggal tiang dan sisa runtuhan akibat perang dua tahun di Gaza.
Sejak kelmarin, kira-kira 200,000 rakyat yang berpindah ke selatan sudah beransur-ansur bergerak ke utara menuju Gaza City, melalui Jalan Pantai Rashid dan Jalan Salah al-Din yang menghubungkan utara dan selatan wilayah itu.
Rakaman udara menunjukkan kawasan yang luas di utara Gaza hanya tinggal serpihan runtuhan, tanpa infrastruktur, kemudahan elektrik dan bekalan air paip.
Perang Israel di wilayah itu melumpuhkan hampir keseluruhan Gaza dan infrastrukturnya, termasuk 38 hospital, 670 sekolah, 835 masjid dan kira-kira 300,000 unit perumahan musnah serta 200,000 lagi rosak.
Namun, bagi ramai penduduk yang memutuskan untuk kembali ke kawasan tersebut, mereka masih berharap untuk membina semula kehidupan baharu walaupun rumah dan kemudahan asas musnah akibat peperangan selama dua tahun.
Kebanyakan mereka bersyukur kerana dapat pulang ke rumah asal, meskipun mengetahui keadaannya tidak lagi sesuai untuk didiami.
Seorang rakyat Palestin, Abu Watfa, yang dalam perjalanan pulang ke Gaza City, meluahkan kegembiraan mendalam untuk pulang ke rumahnya walaupun sudah ranap.
“Tiada perasaan yang lebih indah daripada ini selain orang ramai kembali dari selatan ke utara,” katanya kepada CNN.
Sementara itu, Abdel Fattah al-Kurdi, 40, berkata dia sudah tidak dapat mengenali jalan yang biasanya dilalui akibat kemusnahan teruk yang menghalang laluan, walaupun hanya beberapa minggu meninggalkan Gaza City.
“Bandar ini kelihatan sangat berbeza, seolah-olah bukan lagi Gaza yang kami kenali. Ia seperti menemukan ‘bandar hantu’,” katanya.
Walaupun Pasukan Pertahanan Israel (IDF) sudah berundur di kebanyakan kawasan, ia masih mengekalkan kedudukan tentera di beberapa bahagian Gaza, termasuk Beit Hanoun, Beit Lahia dan Shuja’iyya.










