Program Cahaya Harapan buka peluang OKU berdikari ceburi pertanian moden - Utusan Malaysia

Program Cahaya Harapan buka peluang OKU berdikari ceburi pertanian moden

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (lapan dari kanan) berkenan menyempurnakan simbolik perasmian Laman Hijau dalam majlis berlangsung di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Pauh, Jalan Pauh, Kampung Guring, Arau, Perlis. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Program Cahaya Harapan merupakan inisiatif dilaksanakan khusus buat komuniti orang kurang upaya (OKU) di negeri ini berdikari dalam bidang pertanian moden.

Inisiatif tersebut telah dilancarkan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam satu majlis di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Pauh, Jalan Pauh, Kampung Guring, di sini.

Baginda turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian Laman Hijau dan menyaksikan demonstrasi penggunaan tenaga solar dalam proses pertanian.

Keberangkatan baginda pada majlis itu disambut oleh Pengerusi Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti Anak Istimewa Perlis (PPDK-AnIPs), Dr. Nazmin Abdullah.

Program Cahaya Harapan merupakan inisiatif yang dilaksanakan dengan mengetengahkan kemahiran pertanian hijau serta penggunaan tenaga solar buat golongan OKU.

Pelaksanaan program itu adalah merupakan hasil kerjasama Yayasan WIBA PRIMA dengan rakan strategik, Green Experts, Techfarm Xperts, Yayasan Bank Rakyat dan PPDK-AnIPs.

Dr. Nazmin berkata, inisiatif dilaksanakan itu memberi peluang buat golongan OKU menguasai kemahiran moden khususnya dalam bidang pertanian.

“Kemahiran tersebut bukan sahaja meningkatkan taraf hidup mereka malah berpotensi menjadi sumber pendapatan berterusan,” katanya semasa menyembah maklum kepada Tuanku Syed Faizuddin.

Katanya, langkah tersebut bukan sahaja mengurangkan kos operasi namun turut mendidik komuniti istimewa agar lebih celik terhadap teknologi hijau dan kepentingan menjaga alam sekitar.

“Lebih membanggakan, Perlis muncul sebagai negeri perintis pertama di Malaysia yang melaksanakan pendekatan sebegini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN