PRN Sabah: Pas yakin pengalaman Annuar mampu bantu kemenangan

PRN Sabah: Pas yakin pengalaman Annuar mampu bantu kemenangan

MOHD. Amar Nik Abdullah (dua kiri) semasa menjawab soalan daripada pemberita selepas Ceramah Umum Sempena Sambutan 70 Tahun Pas Kelantan dan 35 Tahun Membangun Bersama Islam Peringkat Kawasan Pengkalan Chepa, Kelantan malam tadi-IHSAN DATO' NIK AMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pas yakin pengalaman luas Tan Sri Annuar Musa yang pernah dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Sabah satu masa dahulu mampu membantu parti itu memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah 29 November ini.

Naib Presidennya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, bekas Setiausaha Agung UMNO itu mempunyai rangkaian dan maklumat tentang geopolitik di negeri berkenaan berbanding Pas.

Katanya, kelebihan menyebabkan parti membuat ketetapan melantik beliau sebagai Pengarah Pilihan Raya Pas Sabah kali ini.

“Dengan pengalaman itu, kami berharap beliau dapat membantu parti merangka strategik serta gerak kerja bagi memenangi kerusi di sana,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Ceramah Umum Sempena Sambutan 70 Tahun Pas Kelantan dan 35 Tahun Membangunan Bersama Islam di Pengkalan Chepa di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar memberitahu, tindakan melantik Annuar  bertujuan menggelakan beban tugas kepada tokoh-tokoh Pas di negeri berkenaan yang berkemungkinan besar akan diberi mandat mewakili Pas pada PRN itu nanti.

“Kalau kita lantik mereka (tokoh Pas Sabah) sebagai Pengarah Pilihan Raya ia akan jadi kelam kabut. Hal ini kerana di Sabah, kita (Pas) ada calon yang bagus dan berpotensi,” ujarnya.

Utusan Malaysia 16 Oktober lalu melaporkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 pada 29 November ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon ditetapkan pada 15 November manakala tarikh mengundi awal pula pada 25 November.

Katanya, mesyuarat diadakan susulan SPR menerima pemakluman rasmi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 6 Oktober lalu.

Terdahulu, Perikatan Nasional (PN) menyasarkan untuk bertanding di 36 daripada 73 kerusi pada PRN17 Sabah sekali gus memberi bayangan sedia untuk mentadbir negeri berkenaan.

Ketua Whipnya Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PN sedang meneliti individu yang layak untuk diberikan mandat sebagai calon pada PRN itu nanti.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN