Polis Kelantan siasat dakwaan suspek rompakan kedai emas di Golok lari ke Malaysia

Polis Kelantan siasat dakwaan suspek rompakan kedai emas di Golok lari ke Malaysia

MOHD. Yusoff Mamat semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Polis menjalankan siasatan berhubung dakwaan pihak berkuasa Thailand sekumpulan lelaki yang terlibat dalam rompakan kedai emas di Sungai Golok dua minggu lalu telah melarikan diri ke negara ini.

Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, ia bagi memastikan kumpulan tersebut tidak berada di negeri ini meskipun pihaknya masih belum menerima maklumat lanjut daripada pihak berkuasa negara berkenaan.

“Walaupun sekadar dakwaan selepas kenderaan yang digunakan oleh kumpulan berkenaan ditemukan di kawasan sungai berhampiran sempadan Thailand-Malaysia, kita tetap jalankan siasatan.

“Setakat ini Polis Kelantan masih belum menerima sebarang permohonan daripada pihak berkuasa Thailand untuk mendapatkan bantuan dalam menjejaki suspek,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Mohd. Yusoff memberitahu, Polis Kelantan akan memberikan kerjasama penuh sekiranya mendapat maklumat lengkap daripada pihak berkuasa Thailand.

Utusan Malaysia 7 Oktober lalu melaporkan, pihak berkuasa Thailand tidak menolak kemungkinan ada dalam kalangan ahli kumpulan yang merompak kedai emas di Pasar Raya Big-C Sungai Golok di sini sudah lolos ke Malaysia.

Jurucakap Polis Wilayah 9 berkata, andainya itu berpandukan kepada penemuan dua buah pikap yang disyaki digunakan kumpulan terbabit di kebun sawit di Mukim Kayukhla, Daerah Waeng, di sini.

Terdahulu, seramai 10 lelaki menggunakan senjata perang jenis M16 dan AK104 serta pistol melarikan barang kemas bernilai hampir RM3.11 juta selepas merompak sebuah kedai emas di Pasar Raya Big-C, dekat sini semalam.

Kejadian pukul 6.30 petang itu berlaku ketika orang ramai sedang membeli-belah di pasar raya berkenaan.

Menurut jurucakap polis, semasa kejadian, kumpulan perompak itu masuk ke kawasan parkir kawasan pasar raya tersebut menggunakan trak pikap.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN