KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas Ahli Parlimen pembangkang kononnya kerajaan menggadai kedaulatan negara melalui Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) 2025 dengan Amerika Syarikat (AS).
Perdana Menteri berkata, pemikiran bahawa kerajaan sedang menggadai negara melalui Perjanjian ART 2025 adalah satu bentuk penjajahan baharu yang wujud dalam kalangan pembangkang disebabkan mereka menjadikan fakta separuh benar sebagai kebenaran mutlak.
Malah kata beliau, sikap pembangkang tersebut menjadikan tiada satu pun kejayaan Malaysia dilakar pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 baru-baru ini, ditolak mentah-mentah.
“Dengan prasangka begitu, ini jadinya, menyerah, menggadai, penjajahan baharu. Tak ada. Kita ini bukan ‘antek’ (budak suruhan) atau boneka Amerika Syarikat,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, semalam.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau tidak akan mengambil sikap apologetik dalam perjanjian timbal balik dengan AS yang ditandatangani kerana Malaysia perlukan pelaburan daripada negara kuasa besar tersebut.
“Perjanjian perdagangan ini, semua ada exit clause. Mengapa kita sign (tandatangan) juga, kerana kita perlu pelaburan dari AS. Itu saya tidak mahu apologetik. Soal menyerah (negara) tidak timbul.
“Dulu kita baik dengan China pun kita diserang, sekarang nampak baik dengan AS pun tak boleh. Jadi hendak kena baik dengan siapa? Kelantan dengan Kedah saja,” katanya.
Justeru katanya, tindakan pembangkang yang membuat tafsiran ‘sembrono’ hubungan antara Malaysia dan AS boleh menjejaskan hubungan diplomatik dengan negara tertentu.
Beliau berkata, sikap ditunjukkan pembangkang itu hanyalah politik menanam kebencian tanpa meneliti terlebih dahulu undang-undang dan peruntukan yang dimeterai antara kedua-dua negara.
Katanya lagi, perjanjian yang ditandatangani bersama Presiden Donald Trump itu telah diteliti oleh pegawai kerajaan bagi memastikan kepentingan negara sentiasa terpelihara dan antara yang termaktub dalam perjanjian itu adalah exit clause (klausa keluar) berkaitan pertimbangan keselamatan dan law of the land (undang-undang negara).
“Ini masalah membaca tidak secara menyeluruh. Tentunya apa dilakukan AS sudah diteliti secara satu demi satu oleh China. Kalau ada ditafsirkan oleh sesetengah ahli (Parlimen) pembangkang, ia akan menjejaskan hubungan kita dengan China.
“Kalau rare earth (unsur nadir bumi) dikatakan dimonopoli oleh AS, tidak boleh dengan China, ini tidak berlaku.
“Jadi, kita ini lebih Hamas daripada Hamas, lebih China daripada China. Ini masalah kita kerana politik yang menanam sikap benci begitu sahaja. Saya kata, teliti dulu undang-undang, teliti peruntukan dia,” katanya.
Menjelaskan hubungan dagang Malaysia dan AS yang kini mencecah RM1 trilion, Perdana Menteri berkata, ia disumbangkan oleh syarikat-syarikat yang bertapak di negara ini bukannya membabitkan kerajaan.
Katanya, antara penyumbang kepada jumlah dagangan itu adalah pesanan 30 pesawat Airbus dan 30 pesawat Boeing yang dibuat oleh Malaysia Airlines (MAS) sebelum tarif timbal balik dikenakan kepada Malaysia.
“Umpamanya, RM1 trilion order (pesan) 30 pesawat Airbus, 30 pesawat Boeing, itu lama sebelum tarif, bukan saya order (pesan), ini MAS. Begitu juga pesanan daripada Google dan Microsoft di sini. Mereka pesan part (bahagian) dari Amerika Syarikat. Itu bukan kerajaan,” katanya.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, begitu juga dengan import gas asli cecair (LNG) dari Petronas yang mencatatkan kejayaan besar dalam pelaburan di Kanada.
Katanya, pelaburan itu sebelum ini dikutuk kononnya ia dijual sedangkan tohmahan tersebut adalah penipuan kerana antara lain, kehadiran Perdana Menteri Kanada, Mark Carney ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 baru-baru ini adalah untuk menyatakan penghargaan kepada negara.
Jelasnya, beliau tidak dapat mendedahkan semua maklumat berhubung pelaburan Petronas itu namun secara dasarnya ia membawa margin keuntungan besar kepada Petronas.
“Kita berniaga dengan semua negara, cumanya dengan AS ini dia cerakinkan Google import berapa, Microsoft (import) berapa dan MAS (import) berapa. Itu yang jadi besarnya (nilai dagangan),” katanya.
Perdana Menteri berkata, Malaysia boleh menamatkan perjanjian berdasarkan klausa ditetapkan sekiranya benar perjanjian ditandatangani menjejaskan kedaulatan negara. – UTUSAN










