KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) bersetuju untuk tidak menyatakan sokongan secara terbuka kepada calon Barisan Nasional (BN) atau Gabungan Rakyat Sabah (GRS) jika berlaku pertembungan antara kedua-duanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak lama lagi.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, perkara itu telah dipersetujui kepemimpinan PH sekali gus perkara itu tidak akan menjadi masalah sekiranya berlaku pertembungan kelak.
“Kita sudah ada kesepakatan, sokongan itu tidak akan dibuat secara terbuka, ia bagi menjaga keharmonian kedua-dua belah pihak. Perkara itu telah dirunding bersama,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, PH perlu menyatakan pendirian mereka sama ada bersama BN atau GRS jika kedua-dua parti itu bertembung di mana-mana kawasan pada PRN Sabah.
Ini kerana PH merupakan parti yang akan bekerjasama dengan BN dan juga GRS dalam keadaan kedua-dua parti berkenaan berseteru di antara satu sama lain.
Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, parti itu memilih rakan kerjasama politik di Sabah berdasarkan potensi kemenangan mana-mana gabungan parti yang memasuki gelanggang PRN itu.
Dalam pada itu Bung Moktar berkata, BN telah bekerja dengan lebih lama sebelum tempoh DUN dibubarkan yang memberi kelebihan untuk parti itu berkhidmat secara terus kepada rakyat Sabah.
“Kami merasakan pengumuman ini agak melelahkan kerana terlalu lama menunggu, sedangkan persiapan daripada parti-parti sudah menjurus ke arah pilihan raya,” katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, sebagai sebuah parti yang telah lama berkhidmat, pihaknya melihat ia ada juga kebaikannya di mana memberi peluang kepada pemimpin UMNO dan BN untuk meneruskan kerja awal di semua kawasan.
“Jadi, ini boleh memberi penekanan secara menyeluruh, sebab walaupun jentera kami telah bersiap daripada awal, ada juga dalam kalangan jentera-jentera di peringkat bawah ini masih belum synchronise (selaras).
“Jadi, dengan adanya masa yang begini panjang, sudah tentu memberikan kita kelonggaran untuk menambah apa yang kurang di kawasan jentera-jentera masing-masing,” katanya.-UTUSAN.