SUNGAI SIPUT: Pengusaha nurseri, Ardiana Edayu Abdullah, 40, membuktikan wanita juga boleh berjaya dalam bidang pertanian, pekerjaan yang sinonim dengan golongan lelaki.
Mengusahakan lebih 300 jenis varieti anak pokok buah-buahan, sayur-sayuran, ulam-ulaman, herba dan bunga hiasan sejak tiga tahun lalu di Taiping, wanita itu meraih pendapatan yang tinggi setiap bulan hasil perniagaannya itu.
Sebelum ini dia merupakan seorang perunding majlis perkahwinan namun kerana persaingan yang sengit menyebabkan dia beralih ke bidang pertanian semaian anak pokok.
“Saya menceburi bidang ini kerana semua orang meminati pokok, tumbuhan dan bunga yang boleh ditanam di rumah walaupun halamannya agak terhad selain boleh dinikmati hasilnya.
“Memang mencabar untuk menjaga lebih 300 jenis tanaman di nurseri ini yang perlu dijaga dengan rapi.
“Semua aspek perlu dijaga terutamanya melibatkan pembajaan, penyiraman dan penggunaan racun yang betul bagi mengelak serangan penyakit.
“Walaupun disemai dalam kawasan tertutup dan berbumbung, ia perlu dijaga dengan sebaiknya bagi memastikan kualiti yang terbaik kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada karnival Perak Agrofest 2025 di Ladang Infoternak Sungai Siput baru-baru ini.
Menurutnya, sekiranya tidak terlibat dalam ekspo atau pameran, sebahagian besar masanya dihabiskan di tapak semaian di Taiping seluas 0.40 hetar bagi memastikan tanaman yang disemai sentiasa dalam berkeadaan baik.
Katanya, setiap anak pokok dijual bermula dengan harga RM1 hingga RM1,000 mengikut saiz, keunikannya selain bilangan tahun telah dijaga.-UTUSAN.










