KABUL: Sekurang-kurangnya 15 orang awam terbunuh dan puluhan lagi cedera dalam pertempuran terbaharu di sempadan antara Afghanistan dan Pakistan, menurut pegawai kepada AFP hari ini.
Keganasan antara kedua-dua negara jiran itu memuncak sejak letupan di Afghanistan minggu lalu, termasuk dua insiden di ibu negara Kabul, yang dipersalahkan ke atas Pakistan.
Sebagai tindak balas, kerajaan Taliban melancarkan serangan di beberapa bahagian di sempadan selatannya, mendorong Islamabad berikrar untuk bertindak balas lebih tegas.
Kedua-dua pihak melaporkan puluhan korban pada hujung minggu lalu, dan pertempuran berdarah itu disambung semula pada awal pagi Rabu.
Jurucakap jabatan maklumat tempatan di wilayah Spin Boldak, Ali Mohammad Haqmal, berkata 15 orang awam terbunuh akibat tembakan mortar.
Jumlah korban itu disahkan pegawai di hospital daerah Spin Boldak, Abdul Jan Barak, kepada AFP, dan turut memaklumkan lebih 80 wanita dan kanak-kanak cedera.
Jurucakap kerajaan Taliban, Zabihullah Mujahid, menuduh pasukan Pakistan ‘sekali lagi’ melancarkan serangan menggunakan senjata ringan dan berat di daerah berkenaan.
Dalam satu kenyataan, Mujahid berkata, 12 orang awam terbunuh manakala 100 lagi cedera.
Kenyataan itu tidak menyebut sebarang korban dalam kalangan pasukan keselamatan.
Namun, beliau menambah keadaan kini kembali tenang selepas beberapa askar Pakistan terbunuh dan beberapa pos serta senjata mereka dirampas.
Pakistan belum memberi sebarang komen, tetapi sumber keselamatan memaklumkan tentera negara itu mengebom kedudukan Afghanistan dari daerah Kurram, yang terletak lebih utara berbanding Spin Boldak.