WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, membekukan projek infrastruktur bernilai AS$11 bilion (RM46 bilion) di negeri-negeri yang ditadbir Parti Demokrat, susulan penutupan kerajaan persekutuan yang berlanjutan sejak 1 Oktober lalu.
Pengarah Pejabat Belanjawan Rumah Putih, Russell Vought, menerusi platform media sosial berkata, Kor Jurutera Tentera AS akan menghentikan sementara pelaksanaan beberapa projek yang dikategorikan sebagai berkeutamaan rendah di bandar-bandar seperti New York, San Francisco, Boston dan Baltimore.
Beliau turut memberi bayangan projek tersebut berkemungkinan dibatalkan sepenuhnya jika keadaan berlarutan.
Menurut Pejabat Pengurusan dan Belanjawan (OMB) Rumah Putih, langkah itu sejajar dengan hasrat Trump untuk menyusun semula keutamaan kerajaan persekutuan dalam membiayai projek di bawah Kor Jurutera Tentera Darat.
Pentadbiran Trump sebelum ini membekukan sekurang-kurangnya AS$28 bilion (RM118 bilion) dana bagi projek pengangkutan dan tenaga di negeri serta bandar yang dikuasai Demokrat, sebagai tekanan politik terhadap parti lawan di Kongres supaya menamatkan penutupan kerajaan.
Trump turut berikrar untuk memotong peruntukan kepada apa yang disifatkannya sebagai ‘Agensi Demokrat’ serta bercadang menghapuskan 4,100 jawatan persekutuan bagi menekan lawan politiknya.
Menurut OMB, antara projek yang terjejas ialah pembinaan taman tepian air di San Francisco, kerja pengembangan jambatan di Cape Cod, Massachusetts, serta sistem bekalan air dan kumbahan di New York City yang menyumbang kira-kira AS$7 bilion (RM 29 bilion) daripada jumlah keseluruhan dana dibekukan.
Projek lain yang turut terjejas melibatkan negeri Illinois, Maryland, Oregon, New Mexico, New Hampshire, Massachusetts, New Jersey, Rhode Island dan Delaware.
Kesemua negeri berkenaan adalah antara yang tidak mengundi Trump dalam pilihan raya presiden 2024 lalu dan OMB turut menjelaskan banyak projek itu berada di kawasan perlindungan yang menentang dasar keras pentadbiran Trump terhadap imigresen.- AGENSI