Pengasas produk kosmetik jadikan madrasah lokasi pengubahan wang haram - Utusan Malaysia

Pengasas produk kosmetik jadikan madrasah lokasi pengubahan wang haram

MOHD Yusoff Mamat (kanan) memakaikan pangkat kepada pegawainya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Polis Kelantan mengesahkan menerima maklumat awal ada dalam kalangan pengasas kosmetik menjadikan pusat pengajian atau madrasah sebagai lokasi pengubahan wang haram.

Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat bagaimanapun berkata, siasatan lanjut mengenai perkara tersebut sedang dijalankan.

Katanya, hasil kerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mendapati sebahagian besar madrasah, pondok dan pusat tahfiz di negeri ini tidak berdaftar dengan pihak berkuasa agama.

“Kita bimbang apabila pusat pengajian agama ini tidak berdaftar, ia akan disalah guna untuk kegiatan seperti pengubahan wang haram dan sebagainya.

“Mengejutkan lagi, ada dalam kalangan pengasas kosmetik sanggup memberi sumbangan mencecah jutaan ringgit dengan alasan pelaburan untuk saham akhirat,” katanya kepada pemberita semasa sidang media selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Mohd. Yusoff memberitahu, pihaknya akan terus bekerjasama dengan MAIK dalam memantau perkara tersebut termasuk ajaran sesat dalam kalangan pusat pengajian yang tidak berdaftar.

Katanya, sehubungan dengan itu beliau nasihatkan orang ramai supaya menyemak terlebih dahulu status pendaftaran sesebuah madrasah, pondok atau tahfiz sebelum menyalurkan sumbangan. 

“Selain itu, pastikan juga guru yang mengajar di situ memiliki tauliah bagi mengelakkan penyalahgunaan gelaran ustaz atau wali yang boleh menyelewengkan ajaran agama,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN