Peneroka harap kerajaan bantu lonjak harga sawit sehingga RM2,000 satu metrik tan - Utusan Malaysia

Peneroka harap kerajaan bantu lonjak harga sawit sehingga RM2,000 satu metrik tan

RAZAK DAUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Peneroka Felda menyuarakan harapan agar kerajaan dapat mengambil langkah proaktif bagi melonjakkan harga komoditi sawit sehingga RM2,000 satu metrik tan berbanding harga ketika ini antara RM800 hingga RM900 satu metrik tan.

Pengerusi Biro Sosial dan Komuniti Felda Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, kenaikan harga sawit bukan sahaja mampu menjamin kelangsungan hidup, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi luar bandar.

“Kita berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memperuntukkan RM2.4 bilion kepada Felda, Risda dan Felcra dalam Belanjawan 2026 bagi memastikan perlindungan berterusan kepada lebih 720,000 peneroka, pekebun kecil dan keluarga.

“Belanjawan 2026 memperlihatkan manifestasi komitmen kerajaan Madani dalam memperkukuh kesejahteraan komuniti peneroka Felda dan pekebun kecil di seluruh negara. Cuma kita harapkan kerajaan dapat membantu agar harga komoditi sawit melonjak antara RM1,500 hingga RM2,000 satu metrik tan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Razak yang juga Ketua Peneroka Felda Jengka 24 berkata, peruntukan RM2.4 bilion itu bukan sekadar angka dalam dokumen belanjawan, tetapi lambang kesungguhan kerajaan untuk memastikan lebih 720,000 peneroka dan pekebun kecil terus mendapat pembelaan sewajarnya.

“Belanjawan 2026 ini menunjukkan bahawa suara warga tanah rancangan Felda masih didengari dan dihargai. Ia memberi keyakinan bahawa masa depan peneroka akan terus dibela dalam arus pembangunan negara,” katanya.

Beliau turut menyambut baik langkah pengambilalihan FGV Holdings Berhad yang kembali ke pangkuan Felda, yang disifatkan sebagai titik tolak kepada pengurusan yang lebih telus dan berorientasikan komuniti.

“Langkah ini dapat memperkukuh kedudukan ekonomi peneroka dan membuka ruang kepada pentadbiran yang lebih berintegriti serta berpaksikan kepada kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Razak menegaskan bahawa Belanjawan 2026 bukan sahaja menyentuh soal ekonomi, tetapi juga soal maruah dan masa depan generasi Felda.

Beliau berharap pelaksanaannya kelak akan dibuat secara telus, inklusif dan berpaksikan kepada keperluan sebenar komuniti peneroka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN