PASIR MAS: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendedahkan ada dalam kalangan pemandu yang sanggup melakukan proTes kepada agensi berkenaan dengan membuang muatan, matikan enjin dan Sistem Kedudukan Global (GPS) susulan pelaksanaan Ops Perang Kenderaan Lebih Muatan.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, pemandu berkenaan bertindak demikian selepas dipercayai mengikut arah daripada pengusaha atau pemilik syarikat.
Menurutnya, tindakan membuang muatan di atas jalan itu berlaku pada Jumaat lalu di Jalan Labu, Negeri Sembilan.
“Kes kedua melibatkan tindakan mematikan enjin dan GPS itu berlaku di Lebuh Raya Persekutuan Kuala Lumpur yang menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk.
“Situasi itu menyebabkan JPJ terpaksa meminta bantuan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menunda lori berkenaan,” katanya kepada pemberita pada majlis doa selamat dan kenduri kesyukuran di Kampung Kasar di sini hari ini.
Muhammad Kifli memberitahu, ketiga-tiga tindakan tidak bertanggungjawab yang dilakukan oleh pemandu lori itu menyebabkan berlaku gangguan atau kesesakan di atas jalan raya.
Katanya, susulan kejadian itu, beliau telah memaklumkan perkara tersebut kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli untuk membatalkan permit dan menggantung Lesen Kenderaan Barangan (GDL) pemandu.
“Kami (JPJ) sama sekali tidak akan berkompromi dengan kesalahan yang dilakukan oleh pemandu lori.
“JPJ akan menghantar laporan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk tujuan gantung atau batalkan permit lori tersebut. Bagi Pemandu yang berbuat demikian pula dan enggan memberikan kerjasama, kami akan menggantung GDL milik mereka.
Muhammad Kifli berkata, sepanjang tempoh tiga hari pelaksanaan operasi yang bermula 14 hingga 16 Oktober itu sebanyak 28 kes telah direkodkan dan kesemua lori yang terlibat telah disita kerana melanggar peraturan.-UTUSAN