Pastikan COC Laut China Selatan 'berpaut' undang-undang antarabangsa

Pastikan COC Laut China Selatan ‘berpaut’ dengan undang-undang antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI sebalik ketegangan di Laut China Selatan, rundingan mengenai Kod Tatakelakuan (COC) di kawasan berkenaan masih berjalan sehingga kini dan belum dimuktamadkan.

Kalau bersandarkan kepada kenyataan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini, rundingan melibatkan ASEAN dan China menuju ke arah positif dengan keyakinan terhadap komitmen negara anggota yang terlibat serta mampu dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Ramai ternanti-nanti seandainya ada berita baik mengenai COC dalam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang bermula hari ini dan berakhir Selasa nanti.

Namun, seperti sedia maklum, ‘perjuangan’ terhadap pertikaian di kawasan Laut China Selatan bukan menjadi keutamaan atau kepentingan semua negara anggota ASEAN.

Kedudukan geografi (negara daratan) seperti Thailand dan Laos tidak melibatkan kawasan pertikaian menyebabkan pengurusan konflik tidak mudah.

Bagi negara yang berada dalam kawasan lingkungan seperti Vietnam, Malaysia, Filipina dan Brunei, draf pertama telah disusun sejak 2018.

Antara penekanan dalam draf semestinya melibatkan semua kawasan bertindih dan menghormati hak yang diiktiraf di bawah Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS).

Ada juga draf yang menyentuh agar apabila COC dikuatkuasa, pihak lain termasuk negara ketiga (bukan penandatangan) perlu menghormati prinsip-prinsip yang terkandung dalam COC.
Sebenarnya banyak lagi draf telah dikemukakan negara-negara ASEAN.

Tapi seperti biasa, ada perbezaan pendapat sehingga menyebabkan kemajuan belum dicapai walaupun bacaan ketiga COC telah dimulakan secara rasmi. Dalam erti kata lain, berita baik yang dinanti-nanti, besar kemungkinan tertangguh lagi, boleh jadi tahun depan.

Ini secara tidak langsung menunjukkan perkembangan utama di Laut China Selatan tidak memberi petanda baik untuk tahun 2025.

Tanggungjawab besar semestinya beralih kepada Filipina yang akan menjadi Pengerusi tahun depan. Tidak mustahil selepas ini China akan terus memberi tekanan terhadap negara pimpinan Presiden Ferdinand Marcos Jr itu lebih-lebih lagi

Apatah lagi Amerika Syarikat (AS) di bawah pimpinan Donald Trump menunjukkan negara Uncle Sam ini sebagai sekutu yang tidak konsisten terhadap banyak polisi sebelum ini. Itu belum lagi kedangkalan Pete Hegseth yang tidak mengetahui nama negara ASEAN dan kesilapan beliau tidak menyebut nama Filipina apabila cuba menebus kesilapannya.

Situasi seperti ini menyebabkan Filipina kekurangan upaya untuk berdiri diatas kaki sendiri ‘menentang’ China menjelang kepengerusian mereka tahun depan.

Malah tidak mustahil negara pimpinan Xi Jinping itu kemungkinan mahu ia diselesaikan secepat dan bukan sebaik mungkin bagi melemahkan peranan besar keselamatan maritim yang dimainkan AS di Kawasan Laut China Selatan.

Justeru kebersamaan ASEAN sangat penting dan blok ini semestinya memerlukan kerjasama dan kesepakatan 11 negara anggota walaupun ia bukan melibatkan kepentingan semua. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN