KOTA BHARU: Pas menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung rakaman audio didakwa mirip suara Menteri Besar Perlis Mohd. Shukri Ramli dipercayai menghina Raja Perlis.
Naib Presidennya Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah bagaimanapun berkata, beliau tidak boleh mengulas lanjut berhubung perkara tersebut kerana masih belum mendengar rakaman tersebut.
“Saya hanya dengar orang bercakap, tapi masih belum mendengar sepenuhnya rakaman itu. Betul atau salah, saya sendiri tidak pasti.
“Kalau kita dengar, belum tentu suara itu betul. Zaman AI (kepintaran buatan) ini bukan boleh diambil kira. Jadi kita serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan,” katanya kepada pemberita selepas Ceramah Umum Sempena Sambutan 70 Tahun Pas Kelantan dan 35 Tahun Membangun Bersama Islam Peringkat Kawasan Pengkalan Chepa di sini malam tadi.
Utusan Malaysia 18 Oktober melaporkan, Polis menerima satu laporan berkaitan rakaman suara didakwa mirip Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli yang dipercayai mengandungi kenyataan berunsur fitnah, penipuan serta penghinaan terhadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, pihaknya menerima laporan itu yang dibuat oleh Setiausaha Pemuda UMNO Bahagian Arau, Hazalan Haron kira-kira pada pukul 5.30 petang.
Terdahulu, Pergerakan Pemuda UMNO negeri membuat laporan polis berhubung penularan satu klip rakaman suara mirip suara Menteri Besar yang didakwa menyentuh perihal perbincangan peribadi antara beliau dengan Raja Perlis.
Ahmad Nazrin berkata, penularan rakaman berkenaan menyentuh perihal perbincangan peribadi antara Menteri Besar dengan Raja Perlis berkaitan urusan pelantikan ketua jabatan dan penjawat awam di negeri ini serta beberapa perbincangan lain yang sepatutnya sulit.-UTUSAN