KUANTAN: Peningkatan penggunaan vape atau rokok elektronik dalam kalangan pelajar sekolah, khususnya yang mengandungi bahan terlarang seperti dadah sintetik, semakin membimbangkan dan perlu ditangani segera oleh pihak berwajib.
Penaung Institut Tarbiah dan Teknologi Islam (Integrasi), Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, trend berbahaya itu perlu ditangani kerana ia dilihat memberikan kesan langsung kepada kesihatan mental dan fizikal pelajar.
Menurutnya, ramai pelajar pada ketika ini mengalami gangguan emosi, masalah tumpuan dan perubahan tingkah laku akibat penggunaan vape yang tidak dikawal, malah ada yang menunjukkan simptom ketagihan serius.
“Ia bukan sahaja menjejaskan kesihatan fizikal, malah memberi kesan kepada emosi, tumpuan belajar dan tingkah laku mereka. Ini satu ancaman baharu yang perlu ditangani secara menyeluruh oleh pihak berkuasa dan masyarakat.
“Situasi ini bukan lagi isu disiplin pelajar semata-mata, sebaliknya telah menjadi krisis kesihatan awam yang memerlukan pendekatan holistik melibatkan pelbagai agensi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Beliau berkata demikian sebagai menggulas berhubung isu disiplin pelajar sekolah yang dilihat semakin membimbangkan apabila kes buli, rogol dan terbaru insiden tikaman membabitkan pelajar terus mencemarkan institusi pendidikan negara.
Mengulas lanjut, Zuhairi berkata, Integrasi turut menggesa agar pemantauan lebih ketat dilakukan terhadap penjualan rokok elektronik kepada pelajar, termasuk menerusi platform secara dalam talian yang semakin sukar dikawal.
“Pihak berkuasa perlu memperketatkan penguatkuasaan terhadap penjual yang menyasarkan pelajar sebagai pelanggan, termasuk mengenakan hukuman lebih berat kepada mereka yang menjual produk vape mengandungi dadah.
“Sekolah juga disaran agar kerap membuat kempen-kempen kesedaran tentang bahaya penggunaan vape dengan menjemput pihak-pihak yang boleh memberi taklimat tentang bahaya penggunaan rokok elektronik ini. Contohnya, ikon-ikon yang menjadi idola remaja atau mana-mana individu berpengaruh atau pempengaruh di media sosial,” katanya.
Menurutnya, pelajar perlu didedahkan kepada kesan jangka panjang penggunaan vape, bukan sekadar daripada sudut kesihatan tetapi juga bagaimana pengambilan rokok elektronik itu boleh merosakkan masa depan mereka.
Selain itu beliau berkata, pihaknya turut menyarankan agar ibu bapa dan guru diberi latihan khas untuk mengenal pasti tanda-tanda awal penggunaan vape dalam kalangan pelajar serta saluran bantuan yang boleh diakses.
“Ini bukan masa untuk menuding jari, sebaliknya kita perlu berganding bahu melindungi generasi muda daripada ancaman yang semakin meresap ke dalam sistem pendidikan kita,” katanya. – UTUSAN