Pahang pacu pelaburan direalisasi RM5 bilion menerusi ECERDC - Utusan Malaysia

Pahang pacu pelaburan direalisasi RM5 bilion menerusi ECERDC

WAN Rosdy Wan Ismail (depan, tengah) selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Pahang di Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan negeri merakamkan penghargaan kepada Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) atas kejayaan memacu pelaburan direalisasi berjumlah RM5 bilion dan pelaburan komited RM3.9 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejayaan ini membuktikan kedudukan Pahang sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan destinasi pelaburan berdaya saing.

“Pelaburan direalisasi ini mewakili 90 peratus daripada sasaran ECERDC iaitu RM5.6 bilion bagi tahun 2025, diterajui oleh sektor pembuatan (41 peratus), minyak dan gas (34 peratus) serta perkhidmatan (25 peratus). Secara keseluruhan, ia telah mewujudkan 2,846 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Pahang.

“Sementara itu, pelaburan komited berjumlah RM3.9 bilion yang menumpu kepada sektor pembuatan (95 peratus) dan pertanian (lima peratus) dijangka menghasilkan 3,185 peluang pekerjaan tambahan setelah direalisasikan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, sempena Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Pahang di Putrajaya hari ini, dua acara berlangsung iaitu pertukaran dokumen antara ECERDC dengan empat syarikat utama yang melabur di Pahang bernilai RM1.6 bilion serta penyerahan Pusat Konservasi dan Informasi Penyu (TCIC) Cerating kepada Jabatan Negeri Perikanan Pahang.

Katanya, empat syarikat yang memeterai pelaburan mereka di Pahang adalah PKNP Fire Phoenix Data Center Sdn. Bhd., untuk menubuhkan Pusat Data AI; Sinolion Wheels Technology Sdn. Bhd. untuk menghasilkan rim roda aloi aluminium.

Menurutnya, dua lagi syarikat adalah, Malaysian Solar Resources Sdn. Bhd., bagi membangunkan kilang pembuatan teknologi hijau dan Lionphos Sdn. Bhd., untuk menghasilkan fosfat gred makanan dan gred elektronik.

“Kerajaan negeri juga turut mengalu-alukan penyerahan TCIC Cerating kepada Jabatan Perikanan Pahang yang menandakan kemajuan penting dalam bidang ekopelancongan dan pemuliharaan biodiversiti,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri menyokong penuh usaha ECERDC dalam menjayakan pelaburan strategik bernilai tinggi yang sejajar dengan Aspirasi Pahang 1st demi pertumbuhan mampan, inovasi dan peluang pekerjaan berkualiti untuk rakyat negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN