Paetongtarn letak jawatan Ketua Pheu Thai demi reformasi parti

Paetongtarn letak jawatan Ketua Pheu Thai demi reformasi parti

PAETONGTARN SHINAWATRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Bekas Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Parti Pheu Thai hari ini bagi memberi laluan kepada rombakan menyeluruh parti menjelang pilihan raya penting akan datang.

Paetongtarn dalam kenyataan menjelaskan, keputusan itu adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh dan menyusun semula struktur parti bagi menghadapi cabaran politik masa depan.

Beliau yang masih memegang peranan penting sebagai Ketua Keluarga Pheu Thai, menyifatkan langkah itu sebagai permulaan kepada pelaksanaan pembaharuan strategik yang diumumkan awal bulan ini, dengan matlamat membentuk sebuah ‘parti baharu yang lengkap dan sempurna’.

“Hari ini, saya memutuskan untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Parti Pheu Thai dengan niat memulakan rombakan parti… dengan visi baharu yang berani untuk membawa perubahan sebenar kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan itu.

Paetongtarn berpendapat persekitaran global yang mencabar serta pilihan raya Thailand yang semakin hampir menuntut Parti Pheu Thai, sebagai kuasa politik utama negara, untuk melakukan rombakan menyeluruh terhadap struktur, proses dan cara berfikir bagi memastikan kemenangan pilihan raya yang mampu ‘menghidupkan semula Thailand’.

“Saya memilih untuk meletakkan jawatan sebagai ketua parti bagi membolehkan rombakan ini dilakukan dengan bebas dan membentuk sebuah parti baharu yang lengkap dan sempurna,” jelas Paetongtarn, sambil mengesahkan akan terus kekal sebagai ahli parti dan Ketua Keluarga Pheu Thai.

Pengumuman itu dibuat selepas mesyuarat tergempar bersama jawatankuasa eksekutif dan ahli Parlimen parti berkenaan.

Pemangku Setiausaha Agung Parti Pheu Thai, Sorawong Thienthong, kemudian memberitahu wartawan alasan utama Paetongtarn meletakkan jawatan adalah untuk melindungi calon dan ahli Parlimen parti itu.

Sorawong mendedahkan penyingkiran Paetongtarn daripada jawatan perdana menteri susulan keputusan Mahkamah Perlembagaan berkaitan etika baru-baru ini menjadi pencetus kepada tindakannya.

Beliau berkata, Paetongtarn tidak mahu keputusan undang-undang tersebut dijadikan ‘alat politik’ untuk mengugut ahli Parlimen Pheu Thai, menarik ahli keluar parti, atau menjejaskan imej parti.

Parti Pheu Thai dijangka mengadakan perhimpunan agung luar biasa dalam masa terdekat bagi memilih ketua dan jawatankuasa eksekutif baharu.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN