Mikroplastik dikesan dalam hujan di Jakarta

Mikroplastik dikesan dalam hujan di Jakarta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Kajian Agensi Penyelidikan dan Inovasi Nasional (BRIN) Indonesia mendedahkan zarah mikroplastik berbahaya dikesan dalam air hujan di Jakarta.

Kajian yang mengumpul sampel dari pelbagai kawasan di ibu negara sejak 2022, mendapati terdapat mikroplastik dalam setiap sampel yang diuji.

Penyelidik BRIN, Muhammad Reza Cordova berkata, zarah itu berasal daripada serat sintetik dalam pakaian, habuk kenderaan dan tayar, sisa plastik dibakar serta plastik terurai di kawasan terbuka.

Beliau berkata, sampel kebanyakannya mengandungi poliester, nilon, polietilena, polipropilena dan polybutadiena, yang kelihatan sebagai gentian sintetik serta serpihan plastik.

Secara purata, penyelidik menemukan 15 zarah mikroplastik setiap meter persegi sehari dalam sampel yang dikumpulkan dari kawasan pantai Jakarta.

Muhammad menjelaskan, mikroplastik terhasil daripada pemendapan atmosfera, di mana zarah plastik di udara bercampur dengan kitaran air dan kembali ke bumi melalui hujan.

“Kitaran plastik tidak berhenti di laut, ia dibawa oleh angin ke langit dan turun semula bersama hujan,” katanya.

Penemuan itu menggariskan kebimbangan pencemaran udara, kerana zarah boleh memasuki tubuh manusia melalui udara atau air.

Katanya, kajian global juga menunjukkan mikroplastik boleh menyebabkan tekanan oksidatif, gangguan hormon dan kerosakan tisu pada manusia.

Bagi menangani masalah itu, beliau menggesa usaha lebih kukuh, termasuk meningkatkan pengurusan sisa plastik dan kemudahan kitar semula, mengurangkan penggunaan plastik sekali guna serta memasang penapis di mesin basuh untuk menangkap gentian sintetik.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN