Masjid Jamek Felda Adela perkukuh ukhuwah melalui lawatan ke Pahang - Utusan Malaysia

Masjid Jamek Felda Adela perkukuh ukhuwah melalui lawatan ke Pahang

MASJID Jamek Al-Ikhwan Felda Adela, Johor perkukuh ukhuwah melalui lawatan ke Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Program lawatan empat hari anjuran Masjid Jamek Al-Ikhwan Felda Gugusan Adela, Johor ke beberapa masjid utama di Pahang berjaya memperkukuh ukhuwah dan memperluas perkongsian ilmu antara pengurusan masjid komuniti tanah rancangan terbabit.

Lawatan bermula 28 Oktober lalu itu disertai Pengerusi Masjid Wilayah Jengka, Razak Daud, Kadi Daerah Jengka, Nik Ibrahim Nik Abdullah dan pegawai agama serta ahli jawatankuasa (AJK) Masjid Jamek Felda Adela.

Antara lokasi dikunjungi termasuk Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di Kuantan; Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Taman Temerloh Jaya; Masjid Sultan Ahmad Al-Mustain Billah, Temerloh dan Kompleks Pemuliaan Al-Quran Negeri Pahang di Chenor.

Rombongan terbabit turut menziarahi Galeri Ulama di Madrasah Raudhatul Muhibbin, Chenor dan beberapa masjid lain dalam kawasan Felda seperti Masjid Al-Furqan Felda Kampung Awah, Masjid Nurul Huda Felda Jengka 19 dan Masjid Al-Muhajirin Felda Ulu Jempol.

Penyelaras bersama program, Mohd. Nasaie Nawawi@Saad berkata, lawatan itu bertujuan mempererat hubungan antara institusi masjid Felda selain berkongsi pengalaman dalam aspek pentadbiran dan pengurusan kewangan.

“Program ini bukan sekadar ziarah, sebaliknya menjadi medan pertukaran pandangan dan idea bagi memperkemas urus tadbir masjid supaya lebih cekap dan proaktif,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Kadi Daerah Jengka merangkap Imam Besar Masjid Sultan Ahmad Shah, Mohd. Fikri Hamzah menyifatkan penganjuran lawatan seperti ini wajar diteruskan kerana mampu menghidupkan budaya ilmu dan memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi masjid.

Program berkenaan diketuai Pengerusi Masjid Jamek Al-Ikhwan Felda Gugusan Adela, Ahmad Hassan dan mendapat sambutan hangat daripada pengurusan masjid-masjid yang dilawati.

Inisiatif itu turut membuka ruang kerjasama dalam bidang dakwah, kebajikan dan pembangunan komuniti Felda pada masa akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN