Masa depan Gaza mesti ditentukan rakyatnya sendiri - Hamas

Masa depan Gaza mesti ditentukan rakyatnya sendiri – Hamas

KANAK-kanak Palestin meraikan berita mengenai perjanjian gencatan senjata baharu antara Hamas dan Israel di kem Nuseirat, tengah Gaza, pada 9 Oktober lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Hamas berhasrat untuk mengekalkan kawalan keselamatan di Gaza sepanjang tempoh peralihan dan menolak komitmen untuk melucutkan senjata.

Ahli biro politik Hamas, Mohammed Nazzal berkata, kumpulan itu bersedia menerima gencatan senjata sehingga lima tahun bagi membangunkan semula Gaza, dengan jaminan masa depan Gaza akan ditentukan oleh rakyat Palestin sendiri.

Kenyataan itu menggambarkan jurang besar antara pendirian Hamas dan rancangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, untuk Gaza, yang dijangka membincangkan soal pelucutan senjata dan pentadbiran Gaza dalam rundingan seterusnya.

Pelan yang diumumkan Trump pada 29 September lalu menetapkan Hamas mesti memulangkan semua tebusan Israel sebelum melucutkan senjata dan menyerahkan pentadbiran Gaza kepada jawatankuasa teknokrat di bawah pengawasan badan peralihan antarabangsa.

Apabila ditanya sama ada Hamas bersedia melucutkan senjata, Mohammed menegaskan tiada jawapan tepat mengenainya kerana ia bergantung kepada bentuk pelan yang dimaksudkan.

“Saya tidak boleh kata ya atau tidak, ia bergantung kepada sifat pelan itu. Apa maksud pelucutan senjata tersebut? Kepada siapa senjata akan diserahkan?,” katanya dalam temu bual bersama Reuters di Doha.

Beliau menjelaskan, isu tersebut bukan hanya melibatkan Hamas tetapi juga kumpulan pejuang lain, dan memerlukan penyertaan meluas rakyat Palestin bagi mencapai kata sepakat.

Mohammed berkata, Hamas mencadangkan gencatan senjata jangka panjang dalam mesyuarat dengan pegawai AS dan mahu tempoh damai sekurang-kurangnya tiga hingga lima tahun bagi membangunkan semula Gaza.

“Matlamat kami bukan untuk mempersiapkan perang baharu, tetapi membina semula Gaza dan memberi masa depan kepada rakyat Palestin,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan selepas tempoh peralihan berakhir, pilihan raya perlu diadakan bagi membentuk kepimpinan baharu Palestin yang dipilih oleh rakyatnya sendiri.

“Ini adalah fasa peralihan. Dari segi pentadbiran sivil, akan ada kerajaan teknokrat seperti yang saya nyatakan. Namun di lapangan, Hamas akan tetap hadir bagi memastikan keselamatan dan kestabilan, termasuk melindungi konvoi bantuan daripada geng bersenjata,” katanya.

Beliau turut menolak dakwaan kehadiran Hamas di lapangan menjejaskan pelan damai Trump, sebaliknya menyifatkan langkah itu sebagai keperluan sementara bagi menjamin kelangsungan hidup rakyat Palestin di tengah keadaan tidak menentu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN