Mandur balak maut diserang gajah baharu dua minggu bekerja

Mandur balak maut diserang gajah baharu dua minggu bekerja

SEBAHAGIAN ahli keluarga melakukan solat jenazah untuk arwah Saidi Jahari yang maut diserang gajah di Unit Forensik Hospital Gua Musang, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seorang mandur balak yang ditemukan maut dalam keadaan mengerikan selepas diserang sekawan gajah liar yang mengamuk baharu dua minggu bekerja di kawasan Felda Aring 8 di sini.

Menurut adik bongsu mangsa, Sulaiman Jahari, 32, sebelum ini abangnya
Saidi Jahari, 43, mempunyai pengalaman luas di kawasan hutan selama 30 tahun dan pernah bekerja di Tanah Tinggi Lojing.

“Kami menerima makluman abang meninggal dunia selepas diserang gajah liar di tempat kerja baharunya dekat Felda Aring 8 kira-kira pukul 10 pagi semalam.

“Pada cuti Hari Deepavali lalu, abang yang sebelum ini agak pendiam berubah bercakap banyak dengan ahli keluarga. Saya tidak menyangka itu adalah kali terakhir bermesra bersama abang,” katanya.

Sulaiman memberitahu, dia dan keluarga difahamkan kawasan tempat arwah abangnya bekerja itu baharu sahaja memulakan projek pembalakan.

Katanya, ketika mereka berjumpa abangnya tidak bercerita secara lanjut keadaan di tempat kerja baharunya.

“Abang sudah lama bekerja di kawasan pembalakan dan tidak pernah bercerita tentang pengalamannya semasa di dalam hutan,” ujarnya.

Sulaiman berkata, jenazah arwah abangnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pangkalkuan 2, Ketereh.

Utusan Malaysia sebelum itu melaporkan, seorang mandur ditemukan maut dalam keadaan mengerikan selepas diserang sekawan gajah liar yang turun minyak ketika sedang tidur di rumah kongsi dekat kawasan pembalakan Felda Aring 8 di sini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN