Malaysia tidak mahu sekadar jaguh kampung, peluang jumpa Trump medan dialog keamanan - PM

Malaysia tidak mahu sekadar jaguh kampung, peluang jumpa Trump medan dialog keamanan – PM

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia akan menggunakan sebaiknya peluang bertemu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 sebagai platform penting bagi memastikan ruang dialog berkaitan Gaza terus terbuka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ruang yang ada akan digunakan sebaiknya untuk menyuarakan keadilan dan keamanan dilonjak ke peringkat dan pentas tertinggi.

“Pertemuan saya kelak dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump akan menjadi medan penting bagi memastikan ruang dialog terus kekal sebagai salah satu aparat (alat) utama dalam menjamin keamanan dan pembukaan laluan bantuan kemanusiaan yang lebih besar untuk rakyat Gaza. 

“Ini tentunya bukan penyelesaian muktamad, dan tentunya kita tidak pula mahu sekadar menjadi jaguh kampung, tetapi ia akan menjadi permulaan yang memungkinkan terhentinya segala bentuk serangan dan ancaman.

“Ia juga akan menjadi ruang untuk suara untuk keadilan dan keamanan dilonjak ke peringkat dan pentas yang tertinggi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya, semalam.

Sehubungan itu, Perdana Menteri mengajak seluruh rakyat Malaysia khususnya beragama Islam untuk terus berdoa kepada Allah SWT supaya usaha itu diberi perlindungan dan menjadi sinar terbaik serta jawapan ampuh kepada kezaliman yang sedang berleluasa.

“Ia pastinya menjadi detik pensejarahan yang penting serta permulaan kepada era dan order baru dunia yang lebih aman dan yang mampu menjamin keadilan,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menzahirkan rasa terharu dan teruja ketika melakukan lawatan serta tinjauan ke Markas Utama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) untuk Global Sumud Flotilla.

Katanya, kecekalan perwira berhari-hari membelah samudera demi keadilan lantas menjentik nurani dan menjadi sumber kekuatan, tidak hanya kepada warga Palestin di Gaza, tetapi juga kepada masyarakat dunia yang mengikutinya dengan rasa juang yang tinggi. 

“Kerajaan kekal mendukung dan bersama, selain memastikan bantuan kemanusiaan segera disalurkan dan apa yang utama adalah para perwira selamat sampai ke bumi Gaza kelak, dan dijangka akan mula memasuki zon merah pada esok hari (hari ini). 

“Ramai sahabat di rantau ini, termasuk Malaysia, Turkiye, Itali, dan Sepanyol turut gigih menggembleng tenaga. Hubungan akrab dan langsung yang kita terus kekalkan dengan pelbagai pihak di peringkat antarabangsa menjadi wahana penting dalam menggerakkan solidariti global,” katanya.

Beliau berkata, cabaran lebih besar sedang menanti 34 rakyat Malaysia yang turut mengikuti misi kemanusiaan GSF, pada hari-hari mendatang dengan provokasi lebih agresif daripada pihak musuh. 

“Musuh mungkin menggertak, menyerang. Namun, kekentalan semangat saudara-saudara di lautan inilah yang meleraikan resah dan menyala harapan. 

“Sebagaimana 34 anak Malaysia yang kini bersama pasukan flotilla ini, ia tentunya menjadi catatan sejarah dalam menegak keadilan dan membela kemanusiaan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN