Mahkamah benarkan Trump kerah Pengawal Kebangsaan ke Portland

Mahkamah benarkan Trump kerah Pengawal Kebangsaan ke Portland

ANGGOTA Pengawal Kebangsaan meronda di jalan ke-14, bersama polis Metro Washington DC, di ibu negara. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Mahkamah rayuan Amerika Syarikat (AS) membenarkan Presiden Donald Trump menghantar anggota Pengawal Kebangsaan ke bandar Portland, Oregon, selepas menerima rayuan Jabatan Kehakiman untuk mengetepikan perintah mahkamah yang sebelum ini menghalang tindakan tersebut.

Keputusan itu membuka laluan kepada sekitar 200 anggota tentera dikerahkan bagi melindungi bangunan persekutuan, meskipun ditentang oleh pihak berkuasa negeri dan bandar yang berpendapat campur tangan kerajaan persekutuan tidak diperlukan di Portland.

Portland merupakan antara beberapa bandar yang dipimpin oleh Demokrat termasuk Washington D.C. dan Los Angeles, California yang menjadi sasaran tindakan keras Trump terhadap apa yang beliau sifatkan sebagai peningkatan kadar jenayah dan rusuhan.

Keputusan oleh Mahkamah Rayuan Litar Kesembilan yang berpusat di San Francisco itu membolehkan pasukan tentera berkenaan ditempatkan sementara proses perundangan penuh masih berjalan.

Sebelum ini, Hakim Daerah AS Karen Immergut mengeluarkan perintah sekatan sementara awal bulan ini, bagi menghalang penggunaan Pengawal Kebangsaan Oregon oleh Trump.

Beberapa jam kemudian, Immergut turut menolak cubaan kedua Trump untuk mengerahkan tentera dari Pengawal Kebangsaan Texas bagi tujuan sama.

Namun, pihak pendakwa Jabatan Kehakiman berhujah kehadiran tentera amat diperlukan bagi menenangkan tunjuk perasaan berterusan di luar pusat tahanan Imigresen dan Kastam (ICE) di Portland, yang beberapa kali bertukar menjadi pertembungan ganas antara ejen persekutuan dan penunjuk perasaan.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan pada Isnin memutuskan rancangan Trump untuk menghantar pasukan selama 60 hari merupakan tindakan yang wajar dan terkawal.

Dua hakim yang menyokong keputusan itu dilantik oleh Trump sendiri, manakala seorang lagi hakim yang menentang keputusan tersebut dilantik oleh bekas Presiden Demokrat, Bill Clinton.

Dalam kenyataan rasmi, Rumah Putih menyambut baik keputusan mahkamah itu dan menegaskan Trump hanya melaksanakan kuasa sahnya untuk melindungi aset dan kakitangan persekutuan selepas berlakunya rusuhan ganas yang gagal ditangani oleh pemimpin tempatan.

Kenyataan itu turut menyifatkan keputusan mahkamah terdahulu yang menghalang penempatan tentera sebagai tidak sah dan tidak tepat. –AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN