KUALA NERUS: “Ilmu itu untuk dicari, bukan ilmu yang akan mencari kita.” Prinsip inilah yang menjadi pegangan hidup Yuzwan Mohamad, 39 tahun, anak jati Kampung Mengabang Tengah, Batu Burok, Kuala Terengganu, mencipta sejarahnya tersendiri apabila berjaya menamatkan pengajian Sarjana Sains (Penderiaan Jauh dan Sistem Maklumat Geografi) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Sebagai anak sulung daripada tujuh beradik, Yuzwan dibesarkan dalam keluarga sederhana yang menitikberatkan nilai pendidikan, ketekunan dan disiplin diri.
Sejak kecil, beliau sudah menunjukkan minat mendalam terhadap bidang teknikal.
Pendidikan awalnya bermula di Sekolah Kebangsaan Kompleks Mengabang Telipot sebelum meneruskan pengajian di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Budiman.
Selepas menamatkan pengajian di Politeknik dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (Komputer), perjalanan akademik Yuzwan terhenti seketika pada tahun 2008. Demi tanggungjawab sebagai anak sulung, beliau memilih untuk bekerja bagi membantu keluarga dan menyara adik-adik yang masih bersekolah.
Namun, semangat menimba ilmu tidak pernah padam. Titik perubahan besar hadir pada tahun 2018, apabila beliau memanfaatkan peluang melalui pensijilan APEL (Accreditation of Prior Experiential Learning) yang diperkenalkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Melalui laluan khas ini, beliau diterima masuk ke program Sarjana berdasarkan pengalaman kerja lebih 10 tahun, tanpa perlu melalui peringkat ijazah sarjana muda.
“APEL membuka jalan untuk saya membuktikan bahawa pengalaman juga adalah satu bentuk pembelajaran. Ia bukan sekadar kertas kelulusan, tetapi pengiktirafan terhadap usaha dan pengalaman sebenar dalam bidang kerja,” ujar Yuzwan.
Beliau memulakan pengajian Sarjana Sains pada tahun 2018 dengan tumpuan kepada pembangunan rangka kerja geospatial bagi pengurusan data marin, dan berjaya menamatkannya pada tahun 2025. Penyelidikannya dianggap signifikan dalam menyokong keperluan negara ke arah tadbir urus lautan berasaskan data dan teknologi geospatial.
Kini, beliau melangkah lebih jauh dalam dunia akademik apabila menyambung pengajian PhD dalam bidang Ocean Accounting, dengan penyelidikan yang meneliti bagaimana rangka kerja geospatial dapat digunakan untuk memperkukuh sistem perakaunan alam sekitar marin.
Lebih membanggakan, sepanjang hampir dua dekad berkhidmat di UMT sebagai Pembantu Makmal, Yuzwan bukan sahaja berkhidmat dalam bidang teknikal tetapi turut diberi kepercayaan sebagai penyelidik bersama (co-researcher). Ia sesuatu yang amat jarang berlaku bagi jawatan sokongan. Beliau kini bekerjasama rapat dengan para pensyarah dalam pelbagai projek penyelidikan berkaitan geospatial dan sumber marin.
“Saya mungkin bermula dengan kelayakan SPM, tetapi dengan kesungguhan dan minat yang mendalam, peluang boleh datang dari arah yang tidak disangka. Saya ingin buktikan bahawa jawatan bukan penghalang untuk mencapai kejayaan akademik. Dengan usaha, dedikasi dan doa, pintu ilmu akan sentiasa terbuka,” katanya.
Beliau menambah bahawa sokongan keluarga, rakan sekerja dan para pensyarah memainkan peranan besar dalam perjalanan akademiknya.
“Sokongan orang sekeliling amat penting. Bila kita berbuat baik dan ikhlas dalam bekerja, rezeki datang dalam pelbagai bentuk termasuk peluang menuntut ilmu dan mengembangkan diri,” ujarnya lagi.
Kisah Yuzwan Mohamad bukan sekadar catatan kejayaan individu, tetapi juga simbol bahawa sistem pendidikan negara kini semakin inklusif dan membuka ruang kepada mereka yang berpengalaman untuk maju setara dengan golongan akademik. Beliau menjadi contoh bahawa ilmu tidak mengenal pangkat atau usia, dan bahawa setiap langkah kecil dengan niat yang ikhlas mampu membawa seseorang menuju kejayaan besar.
“Saya ingin masyarakat sedar bahawa tiada jalan buntu dalam pendidikan. APEL membuktikan bahawa ilmu boleh dicapai walau dari bawah. Selagi ada usaha dan doa, insya-Allah, kejayaan akan tiba pada masa yang tepat,” kata Yuzwan dengan penuh yakin.
Kini, dengan segulung Sarjana di tangan dan langkah baru menuju PhD, Yuzwan berdiri sebagai bukti hidup bahawa impian yang diiringi kesungguhan tidak akan sia-sia malah menjadi inspirasi buat ramai warga kerja dan pelajar di UMT untuk terus mengejar ilmu tanpa mengenal batas.
Yuzwan diantara 2,539 graduan yang diraikan hari ini sempena Istiadat Konvokesyen UMT Ke 23 di Dewan Sultan Mizan UMT. – UTUSAN










