Kunjungan muhibah setiap tahun santuni peneroka kaum India di Felda Wilayah Jengka sempena Deepavali - Utusan Malaysia

Kunjungan muhibah setiap tahun santuni peneroka kaum India di Felda Wilayah Jengka sempena Deepavali

TARMIZI Lee (tengah) bersama barisan Exco Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda Wilayah Jengka menyantuni peneroka kaum India sempena Deepavali di Felda Jengka 15 di Maran, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Sempena sambutan Deepavali tahun hadapan, Exco Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda Wilayah Jengka mencadangkan supaya dilaksanakan program kunjungan muhibah khas bagi menyantuni warga peneroka Felda kaum India di semua 37 tanah rancangan di situ.

Exco terbabit, Razak Daud berkata, inisiatif tersebut bertujuan memperkukuh semangat perpaduan dan keharmonian antara kaum, selain menghargai sumbangan masyarakat India dalam pembangunan komuniti di kawasan tanah rancangan Felda.

“Kita mahu semua warga Felda tanpa mengira kaum, merasai kehangatan sambutan perayaan dan dihargai sebagai sebahagian keluarga besar Felda. Deepavali adalah masa yang sesuai untuk kita menyampaikan salam muhibah dan sokongan,” katanya di sini hari ini.

Razak berkata, program yang dicadangkan itu bakal melibatkan lawatan ke beberapa rancangan Felda yang mempunyai komuniti India, dengan penyampaian sumbangan, jamuan mesra dan aktiviti kebudayaan yang mencerminkan kepelbagaian budaya Malaysia.

Beliau turut menyeru kerjasama daripada agensi-agensi berkaitan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan serta kepimpinan masyarakat untuk menjayakan program tersebut secara inklusif dan menyeluruh.

“Kita mahu program ini bukan sekadar simbolik, tetapi benar-benar menyentuh hati dan membina jambatan antara komuniti. Inisiatif ini boleh dijadikan antara program tahunan JKKR Wilayah Jengka dalam usaha memperkukuh integrasi sosial dan semangat kekeluargaan dalam kalangan warga Felda,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, sempena Deepavali kali ini, buat pertama kalinya Pengarah Felda Wilayah Jengka, Tarmizi Lee, Ketua Peneroka Wilayah Jengka, Arifin Wahab, Pengerusi Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Wilayah Jengka, Zariah Harun dan barisan Exco JKKR wilayah tersebut meraikan peneroka kaum India yang menyambut perayaan itu di Jengka 15 dan Jengka 20.

“Ini pertama kali sejak mereka dan selepas 48 tahun peneroka kaum India terbabit tinggal di felda, pihak pengurusan felda mengambil inisiatif berkunjung pada tahun ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN