Krisis perubatan Korea Selatan berakhir selepas 20 bulan mogok doktor

Krisis perubatan Korea Selatan berakhir selepas 20 bulan mogok doktor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Korea Selatan akan menarik balik amaran kecemasan kesihatan awam peringkat tertingginya yang diisytiharkan ketika kemuncak mogok doktor tahun lalu, sekali gus menandakan berakhirnya krisis perubatan yang berlarutan hampir 20 bulan.

Menteri Kesihatan, Jeong Eun-kyeong, pada Jumaat mengumumkan kerajaan akan menamatkan status amaran tahap ‘serius’ pada tengah malam Ahad ini.

Amaran itu mula dikeluarkan pada 23 Februari 2024 selepas ribuan doktor pelatih meletak jawatan secara besar-besaran bagi membantah rancangan kerajaan untuk menambah pengambilan pelajar perubatan.

Ini merupakan kali pertama dalam sejarah Korea Selatan amaran tahap ‘serius’ diisytiharkan bagi sektor kesihatan.

Sepanjang tempoh itu, kerajaan mengaktifkan Ibu Pejabat Pencegahan Bencana dan Keselamatan Pusat, mengarahkan hospital awam melanjutkan waktu operasi, mengambil kakitangan sementara dan menaikkan bayaran rawatan bagi pesakit kecemasan serta kritikal untuk memastikan perkhidmatan asas terus berjalan.

Jeong berkata, langkah itu diambil selepas situasi kesihatan awam ‘berada dalam keadaan stabil’ susulan kebanyakan doktor pelatih kembali bertugas awal tahun ini.

“Sistem kesihatan kini pulih kira-kira 95 peratus kepada tahap operasi normal. Keupayaan rawatan kecemasan dan pesakit kritikal juga hampir kembali ke tahap sebelum krisis,” katanya semasa mesyuarat Ibu Pejabat Tindakan Bencana di Kompleks Kerajaan Seoul.

Dengan penamatan amaran kecemasan itu, langkah kewangan sementara yang diperkenalkan semasa krisis, termasuk kadar bayaran khas bagi rawatan kecemasan, akan ditamatkan secara berperingkat.

Namun, beberapa inisiatif yang terbukti berkesan akan diteruskan secara kekal, antaranya penggunaan jururawat sokongan klinikal, perkhidmatan teleperubatan dan program doktor hospital bagi penjagaan pesakit dalam.

Jeong turut memohon maaf kepada pesakit serta keluarga yang terjejas akibat gangguan perkhidmatan kesihatan sepanjang tempoh krisis, sambil merakamkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan dan pasukan kecemasan atas dedikasi mereka.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN