KOTA BHARU: Polis sudah menyerahkan kertas siasatan berhubung pengibaran bendera Israel semasa gimik lakonan semula kekejaman rejim Zionis terhadap misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) di Sungai Kelantan, Jumaat lalu kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, kertas itu sudah dihantar hari ini dan pihaknya menunggu tindakan selanjutnya.
“Siasatan berhubung pengibaran bendera itu sudah selesai dijalankan. Penganjur berkenaan disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 AKMM 1998,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, kertas siasatan berhubung pengibaran bendera Israel semasa gimik lakonan semula kekejaman rejim Zionis terhadap misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) di Sungai Kelantan, Jumaat lalu akan kepada pihak pendakwa raya dalam terdekat.
Terdahulu, satu rakaman video di aplikasi Tiktok yang memaparkan sebuah bot mengibarkan bendera Israel semasa program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan Untuk Gaza pada Jumaat lalu di Sungai Kelantan sehingga mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Pengarah Program, Mohd. Khairul Hafiz tampil menjelaskan tindakan sebuah bot mengibarkan bendera Israel semasa program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan Untuk Gaza pada Jumaat lalu di Sungai Kelantan hanyalah gimik lakonan semula kekejaman rejim Zionis terhadap misi kemanusiaan GSF.
Mohd. Khairul Hafiz turut menyatakan kesediaan memberikan kerjasama untuk disiasat mengenai kejadian itu.-UTUSAN