KOTA BHARU: Polis Kelantan mendedahkan bendera Israel yang dikibarkan semasa gimik lakonan semula kekejaman rejim Zionis terhadap misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) di Sungai Kelantan, baru-baru ini dicetak sendiri oleh penganjur dan bukan dibeli.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, maklumat itu hasil rakaman percakapan yang dilakukan ke atas penganjur.
Katanya, sepanjang siasatan itu seramai lapan individu yang merupakan penganjur termasuk mereka yang membantu memasang serta melibatkan diri dalam gimik tersebut.
“Mereka ini tidak memahami implikasi perbuatan itu. Isu seperti ini perlu ditangani dengan sensitif kerana bendera Israel melibatkan sebuah negara yang tidak diiktiraf oleh Malaysia.
“Walaupun dilakukan atas tujuan lakonan semula, ia tetap satu kesalahan. Nasihat saya kepada orang ramai agar lebih peka terhadap isu berkenaan yang boleh menimbulkan salah faham dan ketegangan,” katanya kepada pemberita semasa sidang media selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan semalam.
Mengulas lanjut, Mohd. Yusoff memberitahu, ketika ini Polis Kelantan sedang menunggu arahan lanjut daripada Pejabat Peguam Negara (AGC) berhubung perkara tersebut selepas kertas diserahkan kepada Pejabat Pendakwaan Negeri (PPN).
Utusan Malaysia, 15 Oktober lalu melaporkan, polis sudah menyerahkan kertas siasatan berhubung pengibaran bendera Israel semasa gimik lakonan semula kekejaman rejim Zionis terhadap misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) di Sungai Kelantan, Jumaat lalu kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, satu rakaman video di aplikasi Tiktok yang memaparkan sebuah bot mengibarkan bendera Israel semasa program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan Untuk Gaza pada Jumaat lalu di Sungai Kelantan sehingga mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Pengarah Program, Mohd. Khairul Hafiz tampil menjelaskan tindakan sebuah bot mengibarkan bendera Israel semasa program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan Untuk Gaza pada Jumaat lalu di Sungai Kelantan hanyalah gimik lakonan semula kekejaman rejim Zionis terhadap misi kemanusiaan GSF.
Mohd. Khairul Hafiz turut menyatakan kesediaan memberikan kerjasama untuk disiasat mengenai kejadian itu.-UTUSAN