Kerajaan terus perkukuh akses rumah pertama untuk rakyat - Utusan Malaysia

Kerajaan terus perkukuh akses rumah pertama untuk rakyat

INISIATIF kerajaan memperkenalkan Rumah Mesra Rakyat (RMR) membolehkan Fauzilah Simin dan keluarga tinggal di rumah sendiri di Paroi, Negeri Sembilan sejak 2015.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan terus komited menangani isu pemilikan rumah, terutamanya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana menerusi pelbagai inisiatif yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 termasuk sasaran pembinaan 33,000 unit rumah mampu milik.

Pelabur hartanah lelong, Muhammad Ihsan Zainal Abidin berkata, langkah memperbanyak rumah mampu milik itu adalah realistik memandangkan permintaan bagi rumah jenis ini terus meningkat saban tahun.

Menurutnya, walaupun langkah itu bukanlah penyelesaian mutlak dalam menstabilkan harga rumah yang semakin melonjak, ia tetap memberi harapan besar kepada golongan B40 dan M40 untuk memiliki kediaman sendiri.

MUHAMMAD IHSAN

“Dalam konteks semasa, memiliki rumah bukan hanya soal tempat tinggal, tetapi juga sebagai satu bentuk pelaburan jangka panjang yang penting.

“Inisiatif ini juga mampu menyediakan alternatif jangka pendek kepada golongan muda berpendapatan sederhana dalam mendepani kos sara hidup dan harga hartanah yang tidak selari dengan pendapatan.

“Dengan adanya rumah mampu milik yang disediakan oleh kerajaan, mereka tidak lagi perlu menangguhkan impian memiliki rumah sendiri sama ada untuk didiami atau sebagai aset pelaburan masa depan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kerajaan memperuntukkan RM672 juta untuk pembinaan projek seperti Program Residensi Rakyat (PRR) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR) di seluruh negara.

Dalam pembentangan Belanjawan 2026, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan, sebanyak RM500 juta daripada nilai tersebut akan digunakan untuk baik pulih atau bina baharu lebih daripada 3,300 rumah daif, termasuk 380 rumah nelayan.

Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) iaitu jaminan pembiayaan untuk pembeli rumah pertama dan inklusif pekerja gig dan yang bekerja sendiri juga ditingkatkan daripada RM10 bilion kepada RM20 bilion.

Untuk pembelian rumah pertama oleh golongan B40 dan M40 melalui pembiayaan, kerajaan juga menyediakan jaminan pembiayaan sehingga RM500,000 bagi pembelian rumah pertama.

Mengulas lanjut, Muhammad Ihsan berkata, kerajaan memperkenalkan inisiatif Rent-to-Own (RTO) juga menjadi penyelesaian praktikal kepada golongan B40 yang sering terhalang daripada membeli rumah disebabkan kekangan simpanan awal.

“Melalui skim ini, mereka diberi peluang untuk menyewa dahulu dan kemudian membeli rumah yang didiami apabila keadaan kewangan mereka mengizinkan.

“Ini sekali gus membantu mewujudkan kestabilan dalam pemilikan rumah di kalangan rakyat berpendapatan rendah,” katanya.

RUBI HASMAN

Sementara itu, perunding hartanah Maxxan Realty, Rubi Hasman berkata, inisiatif kerajaan memperkenalkan SJKP perlu diteruskan kerana skim tersebut amat besar manfaatnya khususnya kepada individu yang bekerja sendiri atau tidak mempunyai slip gaji tetap.

“Saya telah menjual lebih 300 unit rumah dan hampir 80 peratus daripada pembeli yang berurusan dengan saya berjaya memiliki rumah pertama dengan menggunakan SJKP.

“Ramai dalam kalangan mereka sebenarnya mampu memiliki rumah hasil daripada pendapatan perniagaan atau pekerjaan dengan gaji yang tidak tetap, namun sukar mendapat kelulusan kerana profil kewangan yang kurang memuaskan.

“Contohnya, pemandu lori yang gaji pokoknya rendah namun mereka sebenarnya mampu membayar ansuran bulanan rumah kerana elaun perjalanan yang menyokong pendapatan bulanan mereka. Tanpa SJKP, mungkin sukar bagi mereka untuk memiliki rumah,” katanya.

Justeru, menurutnya, skim jaminan seperti ini membuka lebih banyak peluang kepada mereka, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap rumah mampu milik dan memberikan keyakinan kepada pihak pemaju dan institusi kewangan untuk menyokong golongan ini.

“Dengan SJKP, kelulusan pinjaman bank lebih mudah diperoleh kerana syaratnya yang tidak terlalu tegas. Saya telah menyaksikan ramai pembeli rumah yang mendapat manfaat daripada inisiatif kerajaan ini dan ia perlu diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Erni Syahira Saliman yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan berkata, beliau sangat menghargai inisiatif kerajaan memperkenalkan SJKP kerana ia amat membantu golongan bekerja sendiri yang sukar mendapatkan kelulusan pinjaman bank.

ERNI SYAHIRA

“Sejak bekerja sendiri dari 2017, saya memang tidak pernah mimpi untuk memiliki rumah sendiri kerana saya tahu saya tiada dokumen kelayakan yang sepatutnya seperti potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan cukai pendapatan.

“Namun, dua tahun lalu selepas perniagaan bertambah baik, saya cuba memohon pinjaman bank untuk rumah di Taman Sri Kota, Taiping, Perak yang berharga RM270,000 selepas dimaklumkan oleh ejen hartanah mengenai manfaat skim ini.

“Ketika memohon pun saya tidak meletakkan harapan yang tinggi kerana tahu memang sukar, namun apabila diberitahu permohonan pinjaman saya lulus menerusi SJKP selepas dua bulan, saya rasa tidak percaya dan sangat bersyukur impian saya memiliki rumah akhirnya tercapai,” katanya.

Tambahnya, skim ini juga sangat membantu kerana tidak memerlukan deposit dan secara tidak langsung meringankan beban individu yang bekerja sendiri.

“Kalau ikut saluran biasa, memang susah nak dapat pinjaman. Tetapi SJKP betul-betul beri peluang kepada golongan yang bekerja sendiri seperti saya,” ujarnya.

Peniaga, Fauzilah Simin, yang merupakan penerima RMR pula berkata, kerajaan sentiasa memastikan rakyat terus mendapat bantuan dalam usaha memiliki rumah sendiri dan perlu diteruskan pada masa akan datang.

“Saya mempunyai tanah sendiri namun tiada modal untuk mendirikan rumah. Jadi, sebelumnya kami sekeluarga hanya hidup menyewa.

“Pendapatan saya sebagai tukang masak ketika itu pula hanya RM2,000 dan memang tiada modal untuk mendirikan rumah sendiri.

“Namun, kami berkesempatan juga tinggal di rumah sendiri sejak rumah ini siap pada 2015 sehingga sekarang, hasil inisiatif kerajaan memperkenalkan program RMR,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN