SEPANG: Masyarakat perlu memahami tujuan sebenar pendidikan yang bukan sekadar melahirkan pelajar cemerlang akademik, sebaliknya membentuk insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sahsiah.
Pakar Sosial, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran, berkata Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah menetapkan matlamat utama pendidikan negara ialah untuk melahirkan manusia holistik yang mampu menyumbang secara menyeluruh kepada pembangunan diri, masyarakat dan negara.
Katanya, tujuan pendidikan bukan hanya untuk melahirkan anak-anak yang memperoleh keputusan akademik atau pekerjaan yang membanggakan, tetapi untuk membentuk manusia yang hebat dalam setiap aspek kehidupan.
“Falsafah Pendidikan Kebangsaan menawarkan formula komprehensif yang merangkumi keseimbangan jasmani, rohani, emosi, intelek dan sahsiah yang perlu dihayati serta diamalkan dalam sistem pendidikan negara.
“Apabila formula ini diaplikasikan sepenuhnya, setiap pelajar yang keluar daripada sistem pendidikan, sama ada di peringkat rendah mahupun tinggi, akan menjadi insan berkualiti dan berintegriti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membicarakan isu peranan pendidikan dan guru dalam membentuk generasi masa depan apabila pelbagai isu yang timbul di sekolah, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, untuk mengembalikan kejayaan formula pendidikan ini kepada realiti, guru perlu diberikan semula mandat penuh untuk mendidik, bukan sekadar mengajar.
Beliau berkata, apabila Falsafah Pendidikan Kebangsaan dihayati dan dilaksanakan dengan betul, tidak akan wujud lagi pelajar yang cemerlang akademik tetapi lemah akhlaknya, atau yang bijak berfikir tetapi rapuh integritinya.
Beliau berkata, hakikat itulah yang perlu dilihat oleh masyarakat jika kita benar-benar ingin melahirkan insan seimbang seperti yang dihasratkan oleh sistem pendidikan negara.
“Guru perlu merasakan kepercayaan penuh masyarakat terhadap peranan mereka sebagai pendidik. Tanpa mengira latar belakang, bangsa atau agama, semua pihak perlu menyerahkan kembali mandat ini kepada guru supaya proses pendidikan dapat dijalankan dengan seimbang dan menyeluruh.
“Tanpa mandat tersebut, cita-cita pendidikan negara tidak akan dapat dicapai kerana guru kini lebih banyak diarahkan untuk mengajar dan kerja pengoperasian yang lain berbanding mendidik,” katanya.
Mohammad Shatar berkata, apabila guru cuba melaksanakan tanggungjawab mendidik terutama dalam hal berkaitan disiplin, mereka sering berdepan dengan bantahan dan halangan daripada sesetengah pihak.
Beliau menegaskan, ibu bapa perlu mempercayai keupayaan guru sebagaimana generasi terdahulu pernah menikmati kejayaan hasil didikan guru mereka.
“Pada masa lalu, guru dihormati dan diberi ruang mendidik sepenuhnya, namun hari ini mereka berdepan risiko disaman atau difitnah apabila melaksanakan tanggungjawab mendidik dengan erti yang sebenar.
“Akibatnya, ramai guru mengambil keputusan untuk hanya ‘mengajar’ tanpa mendidik dan jika keadaan ini berlarutan, cita-cita untuk melahirkan insan seimbang tidak akan dapat direalisasikan dengan cemerlang,” katanya. – UTUSAN










