SEREMBAN: Keluarga seorang murid tahun empat yang meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam tandas sebuah sekolah rendah di Senawang, di sini mahu kebenaran mengeanai kejadian itu didedahkan.
Bapa mangsa, Muhammad Hafizuddin Abdullah, 40, berkata, keluarganya pada masa sama akan membuat sidang akhbar dalam masa terdekat bersama peguam bagi menjelaskan pelbagai khabar angin tidak benar mengenai kejadian tersebut.
“Saya hanya mahu kebenaran didedahkan. Insya-Allah dalam masa dua ke tiga hari saya akan berjumpa dengan pihak media bersama dengan peguam.
“Saya difahamkan banyak spekulasi yang tidak benar dalam media sosial dan saya mahu sangat membetulkan kenyataan-kenyataan palsu dan fitnah tersebut.
“Saya akan pastikan tiada bukti dan kebenaran tersorok. Cukup lah anak-anak menjadi mangsa. Sebagai permulaan, arwah anak saya, Iman Zhafran bukan aliran Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
“Kami tidak pernah sorokan apa-apa rekod kesihatan arwah daripada pihak sekolah. Dia (arwah) hadir ‘speech therapy’ pada usia empat tahun sebab didignosis speech delay sahaja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Baru-baru ini Perikatan Nasional (PN) menggesa siasatan terperinci dijalankan segera bagi mengenal pasti punca sebenar kematian seorang murid tahun empat di sebuah sekolah di Seremban yang ditemui tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia baru-baru ini.
Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, siasatan perlu meneliti sama ada pelajar tersebut sudah meninggal dunia ketika ditemui serta kemungkinan wujud unsur jenayah membunuh dalam kejadian berkenaan.
Perkara itu turut dibawa Takiyuddin dalam Dewan Rakyat semalam yang mempersoalkan tahap keselamatan murid di sekolah berikutan kes kematian yang semakin kerap berlaku di premis berkenaan.
Pada 1 Oktober lalu, Kementerian Pendidikan mengesahkan maklumat tular mengenai insiden seorang murid meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di sekolahnya
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, seramai 35 individu telah diambil keterangan berhubung kes yang disiasat di bawah Seksyen 507C Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan buli itu.
Bedah siasat jasad kanak-kanak berusia 10 tahun itu mendapati punca kematian adalah disebabkan tekanan pada leher dan tiada sebarang kecederaan lain pada tubuh badan mangsa.-UTUSAN.










