ARAU: Kejohanan E-Sukan Terbuka Perlis 2025 menjadi medan pencarian bakat-bakat baharu khususnya bagi mewakili negeri ini dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2026
Kejohanan yang diadakan di Dewan Harumanis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) itu membabitkan penyertaan lebih 500 peserta terdiri daripada 160 pasukan.
Presiden Persatuan Sukan Elektronik Perlis, Muhammad Issya Md Salleh berkata, peserta terlibat adalah dari seluruh Malaysia yang akan bersaing dalam tiga kategori acara dipertandingkan iaitu Mobile Legends Bang Bang, PUBG Mobile serta E-Football Mobile.
“Ini adalah medan kami untuk membuat pencarian bakat bagi menyertai temasya Sukma pada tahun hadapan di samping beberapa liga e-sukan lain di negara ini.
“Untuk kejohanan ini, memang kami ingin cari pelapis untuk dimasukkan dalam senarai panjang sebelum diserahkan kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) pada awal Januari depan bagi mewakili Perlis,” katanya selepas perasmian program berkenaan di sini hari ini.
Majlis perasmian kejohanan itu disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) negeri, Musa Salim bersama Presiden Malaysia Esports Federation (MESF), Muhammad Naim Al Amin Saharuddin.
Muhammad Issya berkata, bidang e-sukan sejak kebelakangan ini dilihat semakin berkembang bukan sahaja di peringkat agensi namun turut membabitkan sekolah-sekolah di negeri ini.
“Kalau dilihat penyertaan e-sukan khususnya bagi Mobile Legends bawah 12 tahun, memang begitu memberangsangkan dalam mana-mana kejohanan sekali gus menunjukkan minat mereka dalam permainan ini,” katanya.
Tambahnya, e-sukan juga kini dapat memberi jaminan buat mana-mana pihak yang menceburi bidang itu memandangkan ekosistemnya kian besar dan semakin berkembang khususnya di negara ini.
“Selain menjadi atlet, banyak bidang lain boleh diceburi dalam e-sukan ini antaranya seperti kejurulatihan, pengurus, analisis, pasukan produksi,pengulas dan pelbagai lagi,” katanya.
Sementara itu, Musa pula berkata, JBS negeri sememangnya memberi sokongan penuh terhadap perkembangan e-sukan yang dilihat mampu menarik minat golongan belia pada masa kini.
Ujarnya, JBS juga sentiasa menjalinkan kerjasama erat dengan Persatuan Sukan Elektronik Perlis malah mereka turut memberi sokongan antara satu sama lain,” katanya.-UTUSAN