KUALA LUMPUR: Kehadiran Presiden Russia, Vladimir Putin, ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akan diketahui hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jemputan rasmi kepada pemimpin nombor satu Russia itu telah dihantar ketika pertemuan di Beijing, China, baru-baru ini.
Katanya, Putin menyatakan hasratnya untuk hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur yang akan berlangsung minggu depan namun masih belum memberikan kata putus.
“Saya telah menjemput beliau secara rasmi dan semasa di Beijing, beliau menyatakan akan mempertimbangkan secara serius.
“Buat masa ini, hanya Timbalan Perdana Menteri Rusia yang disahkan hadir, tetapi keputusan muktamad sama ada beliau sendiri akan datang dijangka diketahui hari ini,” katanya kepada media selepas sesi ucaptama dan temu bual di Forum Ilmu PNB 2025.
Anwar menambah, setakat ini kehadiran rasmi yang diterima adalah daripada Timbalan Perdana Menteri Russia, namun terdapat kemungkinan kehadiran Presiden Russia sekiranya keputusan akhir dibuat.
Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang dipengerusikan oleh Malaysia akan berlangsung bermula 26 hingga 28 Oktober depan.
Setakat ini, antara pemimpin dunia yang sudah mengesahkan kehadiran adalah Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump; Perdana Menteri Kanada, Mark Carney dan Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa.-UTUSAN.