KUALA LUMPUR: Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong menggesa rejim Zionis agar segera membebaskan aktivis dan sukarelawan kemanusiaan yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, Palestin.
Beliau yang lantang memperjuangkan kebebasan Palestin menuntut supaya 23 rakyat Malaysia yang ditahan sejak semalam segera dilepaskan.
Menurutnya, dunia tidak boleh lagi berdiam diri dan harus bersatu menentang kekejaman yang tidak berperikemanusiaan itu.
“Mereka tidak selamat kerana ditahan, kebebasan mereka dirampas, maruah mereka diinjak,” katanya ketika berucap di hadapan ratusan delegasi antarabangsa pada Gala Dinner World Social Security Forum (WSSF) 2025 di Kuala Lumpur.
“Kita bertanggungjawab melindungi pekerja, menjamin keselamatan, serta memelihara maruah setiap insan,” tambah beliau.
Steven turut menegaskan bahawa komitmennya sebagai menteri bukan hanya terbatas kepada isu keselamatan akibat kemalangan, tetapi juga mereka yang berdepan penindasan dan ancaman.
Dalam ucapannya, beliau turut menekankan kepentingan menjaga keselamatan peserta GSF serta berkongsi amalan terbaik Malaysia dalam memelihara kebajikan pekerja kepada dunia.
Semalam, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam keras tindakan tentera Israel yang menahan 23 rakyat Malaysia ketika mereka menyertai misi kemanusiaan ke Gaza.
Anwar menegaskan, semua aktivis dan sukarelawan antarabangsa yang terlibat perlu dibebaskan segera kerana flotila tersebut membawa bantuan penting kepada rakyat Gaza yang amat memerlukan.