Kandungan oksigen terlarut rendah, ammonia tinggi punca ikan mati di Sungai Bera - Utusan Malaysia

Kandungan oksigen terlarut rendah, ammonia tinggi punca ikan mati di Sungai Bera

ADNAN Hussain ketika ditemui pemberita selepas Majlis Agihan Bantuan Asnaf Nelayan Darat Negeri Pahang di Kampung Rumbia, Pekan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Kandungan oksigen terlarut rendah serta tahap ammonia tinggi dikenal pasti sebagai punca utama kematian pelbagai spesies ikan di Sungai Bera, Bera, dekat sini sejak Jumaat lalu.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, analisis awal sampel air yang dihantar ke Makmal Biosekuriti Perikanan di Kuantan menunjukkan paras oksigen di kawasan itu berada di bawah tahap normal untuk hidupan akuatik.

“Apabila oksigen terlarut terlalu rendah, ikan tidak dapat bernafas dengan baik, manakala kadar ammonia yang tinggi pula meningkatkan tekanan ekosistem sehingga menyebabkan kematian ikan secara berkelompok,” katanya ditemui pemberita selepas Majlis Agihan Bantuan Asnaf Nelayan Darat Negeri Pahang di Kampung Rumbia di sini.

Adnan berkata, pihaknya masih menyiasat punca sebenar pencemaran sama ada daripada aktiviti industri atau perbuatan lain yang disengajakan namun sehingga kini tiada pencemaran biotoksin atau bakteria berbahaya seperti e-coli dan salmonella dikesan.

“Jadi daripada segi untuk memakan ikan-ikan ini, ia masih lagi berada dalam keadaan selamat. Cuma kita nasihatkan pihak di luar sana berhati-hati dengan kualiti ikan ini,” ujarnya.

Dalam pada itu bersempena majlis berkenaan, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan bantuan kepada 30 nelayan darat asnaf dari Kuantan, Pekan dan Rompin.

Bantuan bersempena program anjuran Amanah Raya Berhad melalui Yayasan Amanah Raya bernilai lebih RM305,000 itu termasuk bot fiberglass, enjin sangkut dan kelengkapan menangkap ikan yang diharap dapat membantu meningkatkan pendapatan golongan terbabit.

Pada majlis sama, Jabatan Perikanan turut melepaskan lebih 150,000 benih ikan pelbagai spesies ke Sungai Pahang termasuk udang galah, lampam sungai, patin buah, baung dan terbul. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN