Itali semakin hampir iktiraf kenegaraan Palestin

Itali semakin hampir iktiraf kenegaraan Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS: Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, memaklumkan negaranya kini semakin hampir untuk mengiktiraf negara Palestin susulan perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas di Gaza.

“Jelas sekali, jika pelan ini dilaksanakan, pengiktirafan Itali terhadap Palestin pasti akan menjadi lebih hampir,” kata Meloni kepada wartawan di luar Sidang Kemuncak Keamanan Sharm el-Sheikh di Mesir, menurut laporan agensi berita ANSA.

Meloni menegaskan Itali komited untuk menyokong penubuhan sebuah negara Palestin, di samping meneruskan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza.

Beliau turut menyatakan kesediaan Itali untuk membantu dalam usaha menstabilkan Gaza, termasuk menghantar pasukan polis separa tentera Carabinieri sekiranya diperlukan di bawah resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Itali bersedia memainkan peranannya. Ini satu peluang besar. Ini hari yang bersejarah. Saya bangga Itali berada di sini,” katanya.

Meloni turut menggambarkan perjanjian gencatan senjata tersebut sebagai ‘kejayaan besar’ Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dan menambah: “Kami mengharapkan lebih banyak kejayaan daripadanya, bermula dengan Ukraine.”

Minggu lalu, Trump mengumumkan Israel dan pejuang Hamas bersetuju dengan fasa pertama pelan damai yang dibentangkannya pada 29 September lalu.

Pelan itu merangkumi gencatan senjata di Gaza, pembebasan semua tebusan Israel sebagai pertukaran kepada tahanan Palestin, serta pengunduran secara berperingkat tentera Israel dari seluruh Semenanjung Gaza. Fasa pertama perjanjian itu mula berkuat kuasa pada Jumaat lepas.

Fasa kedua pelan tersebut pula menggariskan penubuhan mekanisme pentadbiran baharu di Gaza, pembentukan pasukan multinasional, serta pelucutan senjata Hamas.

Awal Isnin, proses pembebasan tahanan Palestin di penjara Israel dimulakan, selepas Hamas menyerahkan kesemua 20 tebusan Israel yang masih hidup dan ditahan di Gaza.

Sejak Oktober 2023, serangan Israel di Gaza mengorbankan lebih 67,800 penduduk Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta menjadikan wilayah itu hampir tidak lagi boleh didiami.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN